Hino 300 Series Direka Lebih Moden Dan Unik

Diterbitkan: Jumaat, 20 April 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Ciri keselamatan bagi kabin dengan reka bentuk baru.
Ciri keselamatan bagi kabin dengan reka bentuk baru.

HINO Motors (M) Sdn Bhd, secara rasminya memperkenalkan HINO 300 Series serba baru menjadikannya terus kekal sebagai jenama jenama No. 1 dalam semua segmen kenderaan komersial yang meliputi kenderaan komersial ringan, sederhana berat dan berat.

HINO 300 Series baru (Kenderaan Komersial Ringan) dilengkapi dengan gear transmisi automatik sepenuhnya yang pertama kali dipasang pada kenderaan komersial ringan.

Ini menggambarkan komitmen HINO dalam penghasilan bertaraf dunia bagi kenderaan komersial ringan generasi baharu yang mengutamakan ciri-ciri keselamatan dan keselesaan pemanduan serta kualiti, dan ketahanan kenderaan.

Pengarah Urusan Hino Motors (M) Sdn Bhd, Nobuyuki Tanaka, berkata, berikutan kejayaan pelancarannya di Jepun pada Jun tahun 2011, pihaknya dengan bangga memperkenalkan 300 Series terbaru.

“Kami juga dengan sukacita mengumumkan bahawa HINO adalah jenama pertama yang memperkenalkan model transmisi automatik sepenuhnya bagi kategori kenderaan komersial ringan di Malaysia.

"Ini menjadikan HINO sebagai satu-satunya syarikat pengeluar trak Jepun yang melengkapkan kenderaannya dengan transmisi automatik.

“HINO 300 series baharu dibangunkan di Jepun dan menampilkan konsep to pursue the perfect fit yang unik bagi memenuhi keperluan perniagaan, pemandu dan syarikat pengangkut.

"Ia direka bentuk untuk Kesesuaian Sempurna, sejajar dengan konsep QDR (kualiti, ketahanan dan kebolehpercayaan) HINO yang meliputi kebolehpercayaan menyeluruh, penjimatan bahanapi, prestasi enjin berkuasa, keselamatan dan keselesaan pemanduan,” kata Tanaka.

HINO 300 series baru terdiri daripada 6 model asas dan boleh didapati dalam tiga variasi kabin yang berbeza, iaitu kabin lebar untuk memenuhi keperluan pemanduan di bandar, kabin krew yang sesuai untuk membawa empat orang penumpang tambahan dan kabin standard.

Model XZU720 AUTO adalah trak enam roda dengan kabin lebar yang julung kalinya dilengkapi dengan transmisi automatik enam kelajuan.

Transmisi manual lima kelajuan juga boleh didapati bagi semua model lain termasuk model empat roda manakala transmisi manual enam kelajuan pula dipasang pada model-model dengan Berat Kenderaan Kasar (GVW) 8.3 tan.

Enam model asas ini dilengkapi dengan enjin EURO-2 atau EURO-3 agar lebih berkuasa tetapi pada masa yang sama, menawarkan penjimatan bahanapi yang cemerlang serta mengurangkan pelepasan gas-gas berbahaya.

Kedua-dua enjin tersebut adalah yang paling berkuasa berbanding saingannya dalam kategori kenderaan komersial ringan.

Bagi memenuhi keperluan kapasiti muatan yang pelbagaian daripada pelanggan, model-model HINO 300 Series dikeluarkan dengan GVW daripada 4800kg hingga 8300kg.

Dengan ruang kabin yang direka untuk memberi keselesaan dan keberkesanan penggunaan yang maksimum, HINO 300 series serba baharu menampilkan ciri-ciri ruang kabin yang jauh lebih luas untuk penumpang atau muatan barang.

Pemijak tepi yang besar serta tuil gear serba baru yang boleh dilipat menjadikan pergerakan keluar masuk ke ruang kabin lebih mudah dan menyenangkan.

Oleh kerana keselamatan merupakan perkara yang paling diutamakan di HINO, trak-trak telah dipasang dengan turus stereng boleh lipat dan stering boleh lentur untuk meminimumkan kecederaan pada tubuh sewaktu pelanggaran hadapan.

Satu lagi ciri keselamatan bagi kabin dengan reka bentuk ini adalah semua tiang kerangkanya dibina lebih kecil bagi mengurangkan blind spot.

Dengan harga berpatutan antara RM86,000 hingga RM130,000 untuk pasaran tempatan, ia sesuai dalam pelbagai urusan.

Selain itu pada tahun 2011, kenderaan komersial ringan keluaran HINO menguasai 35 peratus bahagian pasaran dan ini telah memposisikan HINO sebagai jenama paling terkemuka.

Prestasi unggul trak dan bas HINO turut membolehkannya mengekalkan kedudukan tertinggi dengan penguasaan bahagian pasaran sebanyak 35 peratus, meningkat tujuh peratus barbanding tahun 2010.

iklan

Video

Jumaat, 28 November 2014 12:15 AM

Anak Doakan Nurul Wahab Dapat Bayi Kembar

Khamis, 27 November 2014 2:11 PM

Syabu Dalam Ekzos Bernilai RM4.1 Juta Dirampas

Rabu, 26 November 2014 10:44 PM

Sejauh Mana Anda Tahu (Bahagian 3)

Selasa, 25 November 2014 1:00 PM

Sejauh Mana Anda Tahu? (Bahagian 2)

Kolumnis

iklan

Produk Berkaitan

Iklan