Panduan Menjadi Hos Radio & TV Oleh Azura Zainal

Diterbitkan: Jumaat, 11 April 2014 9:42 AM

Azura Zainal pada majlis pelancaran buku tulisannya, 'Panduan Menjadi Hos Radio & Tv Oleh Azura Zainal' baru-baru ini. Foto BRIAN MOH/THESTAR.

(Ubah saiz teks)

PASTI ramai yang mengenali wajah si cantik manis ini di kaca televisyen.

Azura Zainal memulakan kerjayanya sebagai pengacara program Disney Buzz, sebelum beralih kepada program berbentuk travelog dan sukan seperti X-polarasi, Aktifpedia dan Langit & Bumi.

Bukan itu setakat mengacara malah suaranya juga boleh didengar dalam program, The Red Fix di stesen radio Red FM setiap hari.Tanpa menoleh ke belakang, pengacara serba boleh ini mencuba nasib dalam bidang penulisan buku.

Panduan Menjadi Hos TV & Radio Oleh Azura Zainal merupakan buku siri terbaharu yang diterbitkan oleh MPH Masterclass dan ia telah dilancarkan pada lewat bulan lalu di Centrepoint, Bandar Utama, Petaling Jaya.

Minat yang mendalam membuatkan Azura mencabar diri untuk mengacarakan pelbagai program TV dan radio.

Azura, 33, memulakan kerjayanya sejak usianya belasan tahun lagi. Kini dengan pengalaman 15 tahun dalam dunia pengacaraan televisyen mahupun radio, sudah cukup mematangkan wanita tinggi lampai ini.

Minat yang mendalam membuatkan Azura mencabar diri untuk mengacarakan pelbagai program TV dan radio.

Sudah pasti kita akan teruja dengan penerbitan buku ini, yang banyak menceritakan kisah suka duka Azura serta rahsia kejayaannya dalam bidang pengacaraan.

"Saya menulis buku ini supaya dapat berkongsi tips dan pengalaman serta jatuh bangun saya dalam bidang pengacaraan dengan mereka yang ingin menjadi pengacara serba boleh," kata Azura pada majlis pelancaraan bukunya sambil melahirkan rasa syukurnya di atas kesudian MPH memberikannya peluang menghasilkan buku tersebut.

Mengakui bukan mudah untuk berjaya dalam bidang pengacaraan pada peringkat awal, Azura berkata semuanya dilakukan kerana minat yang mendalam.

"Orang fikir pengacaraan satu bidang yang glamour, sebaliknya ia sama seperti kerjaya lain. Untuk berjaya kita perlu bekerja keras dan berusaha bersungguh-sungguh.

Pada masa yang sama anda juga perlu berani menghadapi cabaran," kata Azura.

Kejayaan tidak jatuh bergolek, dan cabaran yang mendatang  perlu dihadapi dengan tenang. Berbekalkan prinsip tersebut Azura tidak lokek berkongsi pengalamannya dalam industri hiburan di negara ini.

"Industri ini sangat kecil dan kita akan saling mengenali antara satu sama lain, apabila anda berada di sini, nasihat saya adalah anda perlu jadi diri sendiri!," katanya.

Itulah antara nasihat yang pernah diberikan oleh Penerbit serta Pengarah urusan Asia Pacific Limited, Angela Cheung kepadanya. Ia meruapakan kata-kata yang mejadi pembakar semangat kepada dirinya untuk terus berjaya.

Azura memberitahu suaminya, Ibrahim adalah sumber inspirasi terbesarnya.

Azura turut melahirkan rasa terharunya atas kesudian MPH menerbitkan buku tulisannya, serta ucapan terima kasih kepada insan-insan yang banyak membantunya sehingga dia berjaya dalam bidang pengacaraan.

Antaranya termasuklah Cheung, kakaknya, Zarina, rakan-rakan serta ahli keluarganya. Dia turut mengabadikan buku tersebut kepada arwah ibunya dan suaminya, Ibrahim Cristiano De Silva yang merupakan sumber inspirasi serta kekuatannya untuk berjaya.

Pasangan ini baru sahaja berkahwin Disember tahun lalu. Dia menyifatkan suaminya itu seorang yang sangat baik hati dan banyak memberikannya semangat.

"Dia seorang yang sangat banyak membantu dan sentiasa bersama saya dalam apa jua keadaan," kata Azura.

Buku Panduan Menjadi Hos TV&Radio Oleh Azura Zainal boleh didapati di semua kedai buku MPH dan boleh juga dibeli secara online di mphonline.com.
Tags / Kata Kunci: Azura Zainal , MPH , pengacara , host , deejay radio

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan