suria

USIM Dianugerah Status Autonomi

NILAI: Kementerian Pendidikan menganugerahkan status autonomi kepada Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), menjadikannya antara 12 Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) setakat ini yang menerima status tersebut.

Pengerusi Lembaga Pengarah USIM, Prof Emeritus Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin berkata, autonomi itu adalah tanggungjawab dan amanah yang perlu ditunaikan.

"Universiti harus lebih peka dan berusaha keras kerana pihak kementerian akan sentiasa memantau untuk memastikan kita sentiasa memenuhi kriteria yang ditetapkan.

"Oleh itu, semua petugas USIM di pelbagai peringkat perlu memberi perhatian kepada autonomi ini kerana ia akan memberi banyak faedah kepada universiti," katanya dalam kenyataan di sini.

Watikah autonomi itu disampaikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Menteri Pendidikan kepada Abdul Shukor sempena Majlis Perutusan Tahun Baharu 2015 kementerian itu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Jumaat.

Pada 2011, USIM telah dipilih oleh kementerian bersama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Sains Malaysia (USM) sebagai projek perintis untuk pengauditan autonomi sebelum dasar ini dilaksanakan.

Status autonomi diberikan apabila sesebuah IPTA melepasi penilaian tahap kesediaan autonomi melebihi skor 85 peratus dalam komponen tertentu yang dinilai.

Autonomi yang diberikan ini mencakupi empat bidang iaitu Governan Institusi; Kewangan dan Penjanaan Pendapatan; Pengurusan Sumber Manusia; dan Pengurusan Akademik dan Kemasukan Pelajar.

Dengan pemberian autonomi ini, IPTA berhak untuk melaksanakan perkara-perkara di dalam pekeliling/surat pekeliling yang telah diluluskan atau diberi penurunan kuasa oleh Agensi Pusat kepada Lembaga Pengarah Universiti (LPU)/Lembaga Governan Universiti (LGU).

Melaluinya, peranan LPU/LGU selaku pembuat keputusan akan terus diperkasakan selaras dengan tanggungjawab yang diberikan bagi memastikan sumber universiti ditadbir secara integriti dan akauntabiliti.

Pada majlis itu, universiti lain yang turut diberi status autonomi bersama-sama USIM adalah Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM).- Bernama

USIM, autonomi, Abdul Shukor Husin

Artikel Berikut

Artikel Lain