suria

UniKL-PMB Meterai Perjanjian

LUMUT: Universiti Kuala Lumpur (UniKL) pada Khamis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Pelaburan Mara Berhad (PMB), untuk membangunkan 'Teaching Factory' dan program 'Industrialmanship'.

Melalui MoU itu, PMB berperanan menyediakan platform untuk UniKL dan syarikat maritim untuk bekerjasama dalam membangunkan modal insan dari segi pengetahuan teori serta mengamalkan pengetahuan teknik dan vokasional melalui latihan praktikal dan industri.

Presiden UniKL, Datuk Dr Mazliham Mohd Su'ud berkata, MoU itu membuka fasa baharu untuk menerapkan 'Teaching Factory' dan Program 'Industrialmanship' sebagai kaedah latihan dan pembelajaran bagi pelajar UniKL dalam bidang marin dan industri perkapalan.

Beliau berkata, 'Teaching Factory' adalah pendekatan pembelajaran yang melibatkan pelajar UniKL dalam aktiviti dan projek industri yang sebenar, semasa mereka sedang menuntut di universiti.

"Ia mendedahkan dan membolehkan pelajar mempraktikkan standard dan keperluan kerja di dalam industri dan menghasilkan graduan yang 'industry-ready'," katanya ketika berucap pada majlis MoU berkenaan di kampus Institut Teknologi Kejuruteraan Marin UniKL (MIMET) di sini.

UniKL diwakili Timbalan Presiden Jaringan Antarabangsa, Industri dan Institusi UniKL Prof Datuk Ahmad Zahir Mokhtar manakala PMB diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nazim Rahman.

Majlis menandatangani MoU berkenaan disaksikan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Pengerusi PMB Datuk Shohaimi Shahadan.

Mazliham berkata, 'Teaching Factory' mula diperkenalkan di UniKL MIMET untuk menghasilkan bot-bot gentian kaca dan aluminium yang boleh digunakan untuk tujuan rekreasi, penangkapan ikan, pelancongan dan pemantauan keselamatan.

Menurutnya, melalui MoU tersebut, pendekatan 'Teaching Factory' akan diperluas dan ditingkatkan untuk menghasilkan bot yang lebih besar dan canggih dengan menggunakan teknologi tinggi untuk pasaran dalam dan luar negara.

Beliau menambah, program 'Industrialmanship' pula bertujuan memdedah dan menyesuaikan pelajar kepada budaya dan suasana kerja industri sebenar yang akan bermula seawal semester pertama sehingga pelajar tamat pengajian.

"Ia mampu meningkatkan kualiti serta 'employability' graduan dan mampu dilaksanakan dengan jaringan kerjasama dan sokongan padu industri," katanya.

Jelas beliau lagi, bagi meningkatkan pengetahuan terhadap keperluan semasa industri marin, UniKL MIMET mengadakan kerjasama pintar dengan syarikat, universiti dan badan profesional antaranya Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd, NGV Tech Sdn Bhd, Universiti Teknologi Malaysia, Vale Minerals Sdn Bhd dan Chartered Institute of Logistics and Transport (CILT).

Artikel Sebelum

Artikel Lain