suria

Usim Raih Pingat Pameran Inovasi British 2014

Dr Mustafa bersama pelajar Usim (dari dua kiri), Riaz Asma'a Saari, Nur Hidayah Hassan dan Nur Hafez Asyreem yang berjaya meraih pingat emas di dalam pertandingan inovasi antarabangsa, BIS di United Kingdom baru-baru ini, ketika mengadakan sidang akhbar mengenai kejayaan itu di Usim dekat sini.
Turut serta ialah Penyelidik Bersama Dr Hafez Mohd Isa (kiri) dan Penyelidik Prinsipal Usim Dr Abdul Rahman Hassan (kanan).
NILAI: Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) memenangi dua pingat emas dan satu pingat perak dalam pertandingan inovasi antarabangsa di Pameran Inovasi British (BIS) 2014, di London baru-baru ini.


Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof Datuk Dr Mustafa Mohd Hanefah berkata, USIM menang 'Gold Medal for Best Invention of The Year' dan 'Special Double Gold Award Invention of The Year' bagi produk ciptaan membran jenis baharu iaitu 'Novel Active Membrane for Dyes Wastewater' (ANF Membran) yang dicipta oleh kumpulan IMTL.

"Pingat perak pula dimenangi bagi produk 'Crushy Snack Bar' yang dicipta oleh kumpulan Authen6," katanya dalam sidang media yang diadakan di sini hari ini bagi mengumumkan kemenangan itu.

Mustafa berkata pihak universiti juga merancang untuk mengkomersialkan produk ciptaan pelajarnya, contohnya produk 'Crushy Snack Bar' yang telahpun ada pihak yang berminat mengkomersialkannya.

"'Crushy Snack Bar' adalah sejenis pemakanan tinggi serat menggantikan makanan ringan yang berkonsepkan mudah dimakan, kering dan cukup kecil untuk dimasukkan ke dalam poket," katanya.

Produk ciptaan kumpulan IMTL, ANF Membran yang berfungsi sebagai alat komponen penapis dalam kegunaan industri tekstil dan makanan meraih 99.6 markah mengalahkan 119 peserta membabitkan lebih 10 negara.

BIS yang diadakan di Pusat Pameran Barbican, United Kingdom dari 22 hingga 25 Oktober diadakan bertujuan mengetengahkan pelbagai jenis ciptaan yang mampu menjana peluang perniagaan melalui pelbagai jenis inovasi dan ciptaan. 


Usim, Pameran Inovasi British

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain