suria

Usaha Cari Rakan Pemodal Dalam Penyelidikan Universiti

Prof Wahid Omar

KUALA LUMPUR: Tanggungjawab mengarus perdanakan penyelidikan bukan semata-mata terletak pada universiti, malah semua pihak perlu memainkan peranan membudayakan bidang tersebut bagi memacu pembangunan negara.

Naib Canselor Universti Sains Malaysia (USM) Prof Datuk Omar Osman berkata universiti hanya sebagai pentas dalam menyediakan batu loncatan dan tonggak kepada negara untuk memastikan ia berupaya menjadi negara maju dengan sokongan pihak berkepentingan yang lain.

"Cabaran paling utama setelah kita dinobat sebagai universiti penyelidikan ialah untuk membudayakan penyelidikan itu sebagai satu asas pembangunan.

"Bagaimanapun selain cabaran sedemikian, kita juga menghadapi cabaran untuk memastikan momentum penyelidikan diteruskan dengan disertai sokongan dan pembiayaan konsisten daripada 'stakeholders' termasuk industri, masyarakat dan agensi kerajaan," katanya kepada Bernama selepas diwawancara dalam rancangan Ruang Bicara terbitan Bernama TV di sini.

Turut menjadi tetamu rancangan berkenaan, Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Prof Ir Dr Wahid Omar dan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Penyelidikan dan Inovasi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Datuk Dr Mazlin Mokhtar.

Sementara itu Mazlin pula berkata, Universiti Penyelidikan (RU) di Malaysia berdepan cabaran besar kerana bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D) negara masih baru.

"Kita bermula pada tahun 2007, baru mencecah tujuh tahun, kalau sekolah baru masuk darjah satu, justeru perjalanan masih panjang namun penyelidikan dilihat berpotensi besar jika turut disokong pelbagai pihak," katanya.

Status RU diberi kepada lima universiti iaitu Universiti Putra Malaysia, Universiti Malaya, UKM, USM dan UTM.

Mazlin berkata, dengan pengiktirafan itu, sudah tiba masanya pihak swasta dan industri bersama-sama digembleng bagi menghadapi cabaran baharu untuk menjalankan penyelidikan tanpa bergantung kepada kerajaan.

"Kita percaya pihak swasta di Malaysia dan di rantau Asia Tenggara ini pun yang memperoleh keuntungan sangat besar, tetapi kesanggupan untuk mencurahkan kepada dunia R&D masih kecil," katanya.

Selain itu Mazlin berkata, pihak berkepentingan juga perlu disedarkan bahawa terdapat banyak penyelidikan hebat dijalankan anak tempatan namun ia tidak sampai kepada masyarakat ekoran tidak dikomersialkan atas faktor kewangan.

"Jika tiada pihak swasta atau 'rakan pemodal' yang akan mengangkat penyelidikan ini, maka ia tidak akan diketengahkan dan kita akan menjadi negara maju berasaskan teknologi atau pun kepakaran yang diimport.

"Kita sebagai universiti menyediakan kepakaran di tempat sendiri dan untuk proses di peringkat selanjutnya termasuk pengkomersialan memakan masa yang panjang dan belanja yang banyak. Kita tidak akan mampu melakukannya sendiri," katanya.

Dalam pada itu, Wahid juga berkata, RU akan melaksanakan langkah-langkah proaktif bagi menarik minat 'rakan pemodal' untuk mengkomersialkan penyelidikan yang dilihat mampu memberi impak kepada rakyat.

"Kita telah menubuhkan Majlis Universiti Penyelidikan Malaysia sejak 2007 dan ia kini dalam perkembangan fasa baharu bagi mencari pendekatan menarik minat rakan pemodal terhadap penyelidikan yang dihasilkan," katanya menambah satu Karnival RU besar-besaran sedang dirancang bagi mengeratkan hubungan universiti dengan pihak berkepentingan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain