suria

Universiti Tempatan Perlu Tukar Kaedah Mengajar

GEORGE TOWN: Universiti-universiti awam dan swasta tempatan perlu bersedia menyerap dan menerima kaedah pengajaran baharu jika mahu mencapai aspirasi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 untuk menjadi antara tiga negara terbaik dalam kecemerlangan pendidikan.

Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris, Prof Datuk Dr Zakaria Kasa berkata ia adalah cabaran baharu dalam kaedah pengajaran dan pembelajaran bagi universiti-universiti tempatan.

"Universiti berkenaan juga perlu menyusun semula kurikulumnya supaya selaras dengan perubahan yang dilakukan dalam pendidikan sekolah kerana apa yang berlaku di sekolah haruslah diteruskan di universiti bagi membolehkan para pelajar mempunyai minat untuk belajar," katanya kepada pemberita di sini.

Terdahulu, beliau menyampaikan ceramah mengenai Kesan Berpotensi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 terhadap Pendidikan Tinggi di Malaysia anjuran Universiti Sains Malaysia (USM). Prof Dr Zakaria berkata, sebagai contoh, jika sekolah mahu melaksanakan teknologi Maklumat dan Komunikasi dalam pengajarannya, universiti juga perlu meneruskan sistem penyampaian itu.

Penyelidikan menunjukkan kualiti guru-guru merupakan faktor berasaskan sekolah yang paling penting bagi menentukan kemenjadian pelajar, katanya.

Sementara itu, Naib Canselor USM Prof Datuk Dr Omar Osman berkata Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia itu perlu mampu bergerak selari dengan objektif yang ditetapkan dalam sistem pendidikan sekolah di Malaysia.

"Tempoh pelan pembangunan akan membolehkan sistem pendidikan yang diterajui para guru mencapai matlamat masa depan yang lestari," katanya.

Menurutnya para pelajar adalah keutamaan dalam mana-mana sistem pendidikan dan berikutan itu, keperluan mereka perlu diberi perhatian.

Artikel Lain