Kumpulan Pro Universiti Kuasai Pilihan Raya Kampus Unimap

Diterbitkan: Khamis, 28 November 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KANGAR: Kumpulan pro universiti menguasai pilihan raya kampus Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dengan menyaksikan 22 calon yang mewakili konstituensi pusat pengajian menang tanpa bertanding.

Sebanyak 6,968 pelajar atau 67.98 peratus daripada 10,307 pengundi menunaikan tanggungjawab masing-masing bagi memilih calon untuk menduduki 33 kerusi Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) bagi sesi 2013/2014.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumninya, Prof Madya Dr Mohd Fo'ad Sakdan berkata hanya sembilan kerusi konstituensi umum dan dua kerusi konstituensi antarabangsa yang menyaksikan perebutan.

Bagaimanapun keseluruhan kerusi yang dimenangi pada pilihan raya kampus itu berpihak kepada kumpulan pro universiti apabila keputusan pengudian secara e-voting itu diumumkan lewat petang Khamis.

Mohd Fo'ad yang ditemui selepas proses pilihan raya kampus itu berkata pilihan raya universiti itu berjalan secara sihat tanpa ada mana-mana calon yang mengeluarkan perkataan yang diklasifikasikan sebagai mencerca dasar kerajaan, parti politik dan kepimpinan negara.

Pembentukan Kabinet MPP UniMAP dijadualkan berlangsung esok bagi menentukan siapa yang bakal dipilih menerajui MPP itu. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan