suria

USM Jalin Kerjasama Penyelidikan Neorosains Dengan Universiti Cuba

KOTA BARU: Universiti Sains Malaysia (USM) meningkatkan jalinan kerjasamanya dengan beberapa universiti luar negara dalam bidang penyelidikan dan pembangunan neorosains.

Naib Canselor USM, Prof Datuk Dr Omar Osman berkata, setakat ini, pihaknya mengadakan kerjasama itu dengan dua universiti di Cuba dan Jerman yang mempunyai pusat penyelidikan tersebut.

"Kerjasama itu termasuk pertukaran pakar penyelidik dan pelajar di peringkat sarjana dan doktor falsafah (PhD)," katanya kepada Bernama selepas pelancaran Pusat Perkhidmatan dan Penyelidikan Neorosains di Kampus Perubatan USM Kubang Kerian di sini pada Rabu.

Turut hadir pengarah kampus itu Prof Datuk Mafauzy Mohamed dan Pengarah Pusat berkenaan Prof Dr Jafri Malin Abdullah.

Dr Omar berkata, untuk tujuan sama, pihaknya juga merancang mengadakan kerjasama dengan institusi pengajian tinggi di Jepun dalam masa terdekat ini.

Beliau berharap kerjasama itu akan menjadi pemangkin kepada peningkatan penyelidikan serta kualiti perkhidmatan klinikal dan bukan klinikal berasaskan neorosains yang lebih baik untuk masa depan.

Untuk tujuan itu, katanya Kementerian Pengajian Tinggi menyediakan peruntukan RM6 juta bagi membiayai program di bawah penyelidikan dan pembangunan pusat itu tahun ini.

"Ini penting kerana pada dasarnya ia merupakan bidang kajian saintifik yang berkaitan dengan sistem saraf manusia yang merupakan sebahagian daripada kitaran bidang biologi," katanya.

Dr Omar berkata, USM dipilih menjadi tapak kecemerlangan Pusat Neorosains berasaskan kepada kekuatan dan kepakaran tenaganya selain kerjasama dengan pakar bidang itu dari luar negara.

"Pusat Perkhidmatan dan Penyelidikan Neorosains ini terdiri daripada pasukan transdisiplinari berasaskan klinikal dan penyelidikan dalam bidang neorosains boleh dilakukan dengan lebih relevan dan lestari," katanya.

Beliau menambah, pusat kecemerlangan itu dapat menggabungkan enam kluster yang tidak hanya berfokus kepada perkhidmatan semata-mata malah ke arah bidang penyelidikan.

Ini termasuk neorosains klinikal, neorosains asas, neorosains kognitif, pengimejan neoro, neorogunaan dan kejuruteraan bioperubatan neoro, katanya.

Untuk meningkatkan keupayaan dan kemajuan masa depan pusat ini, Dr Omar berkata USM perlu mengajak dan membawa pihak lain untuk berkongsi kekuatan dan tenaga, termasuk institusi yang berpotensi untuk memanfaatkan sumber dan kekuatan. - BERNAMA

Artikel Lain