suria

Pelajar Tajaan JPA Rangkul Graduan Terbaik Universiti Manipal

NEW DELHI: Pelajar tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dari Kolej Sains Pergigian Manipal di Mangalore, Benjie Law, 24, merangkul Pingat Emas Dr Tonse Madhav Ananth Pai sebagai graduan terbaik Ijazah Sarjana Muda Pembedahan Pergigian (BDS) IV.

Law, yang berasal dari Pulau Pinang, turut memenangi beberapa anugerah lain seperti Pingat Emas bagi Ortodontik dan Ortopedik Dentofasial, Pingat Emas dalam Pembedahan Mulut dan Maksilofasial serta Anugerah Jubli Perak Universiti Manipal 2013. "Anugerah ini adalah satu penghormatan yang luar biasa. Saya amat berterima kasih kerana mendapat sokongan serta bimbingan berterusan daripada guru, keluarga dan rakan. Saya juga berterima kasih kepada Jabatan Perkhidmatan Awam serta rakyat Malaysia untuk biasiswa dan peluang belajar di sini," katanya kepada Bernama melalui e-mel.

Majlis penyampaian anugerah itu berlangsung di kolej berkenaan dan Konsul Jeneral Malaysia di Chennai, Chitra Devi Ramiah hadir sebagai tetamu kehormat. Turut hadir Konsul Pelajaran dan Latihan di Chennai Annie Sabrina Lasumin.

Law berkata beliau percaya adalah penting untuk kekal fokus dengan matlamat kerana mudah bagi seseorang itu untuk berputus asa ketika berada di negara asing dan jauh daripada zon selesa di tanah air sendiri. Beliau mengakui lima tahun lepas amat mencabar baginya untuk menyesuaikan serta memajukan diri di tempat yang begitu asing. Bagaimanapun, hari ini, selepas berjaya mengatasi cabaran itu, Law yakin beliau sudah sedia berkhidmat kepada orang awam di Malaysia berbekalkan ilmu serta kemahiran yang diperoleh.

Law merupakan antara 18 pelajar Malaysia kolej itu yang berjaya menamatkan pengajian tahun ini.

Pelajar Malaysia lain yang merangkul anugerah kecemerlangan akademik ialah Serene Chia Ying dan Kalpana Selvaraju.

Chia menerima anugerah bagi skor tertinggi Fisiologi/Biokimia, Anatomi Pergigian, Embriologi dan Histologi Mulut serta skor tertinggi dalam Peperiksaan BDS I.

Beliau turut merangkul Anugerah Peringatan Mendiang Maninder Singh sebagai Pelajar Cemerlang BDS I.

Kalpana Selvaraju pula menerima Pingat Emas untuk Perubatan Am manakala Alex Lee mendapat tempat pertama bagi skor tertinggi dalam Pedodontik. -BERNAMA

Artikel Lain