suria

UniSZA Universiti Pertama Terima Pelajar Palestin

KUALA TERENGGANU: Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) merupakan universiti pertama di negara ini yang akan menerima dan menempatkan 10 pelajar dari Palestin untuk melanjutkan pelajaran di negara ini.

Naib Canselor Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Prof Dr Yahaya Ibrahim berkata ini berikutan perjanjian kerjasama (MoU) antra UniSZA dengan Universiti Islam Gaza yang akan diadakan semasa beliau (Yahaya) diundang mengadakan ucaptama di universiti itu pada 10 Mac ini.

"Saya merupakan ahli akademik yang pertama di negara ini diundang untuk memberi ucaptama di universiti itu pada satu persidangan mengenai pembangunan pasca perang di Palestin iaitu apa yang perlu dilakukan oleh Gaza dalam konteks membangunkan sebuah negara selepas perang.

"Pada masa sama saya akan mengadakan MoU dengan universiti itu di mana saya akan menawarkan 10 tempat pengajian kepada 10 pelajar Palestin di UniSZA," katanya kepada pemberita pada majlis penyampaian Baucar Buku 1Malaysia yang dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian, Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman.

Yahaya berkata tawaran untuk menempatkan pelajar Palestin di Malaysia adalah sebagai lanjutan daripada saranan pihak berkuasa Palestin (Perdana Menteri Palestin) unuk menempatkan 100 pelajarnya melanjutkan pelajaran di negara ini.

Sehubungan itu, UniSZA melancarkan tabung derma Gaza yang bermula semalam sehingga 7 Mac ini, katanya.

Sementara itu Ahmad Razif ketika menyampaikan agihan Baucar Buku 1Malaysia berkata pelajar hendaklah menggunakan baucar berkenaan dengan sebaik mungkin.

Katanya bantuan itu tidak lain bagi meringankan beban dan memudahkan pelajar membeli buku-buku bagi manfaat mereka.

Pada majlis itu seramai 700 pelajar UniSZA iaitu sebahagian daripada 6,000 pelajar universiti itu yang akan menerima Baucar Buku 1Malaysia yang akan diagihkan secara berperingkat-peringkat. BERNAMA

Artikel Lain