UiTM Sasar 80 Peratus Pensyarah Pendidikan Menjelang 2020

Diterbitkan: Selasa, 29 Januari 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Universiti Teknologi MARA (UiTM) menyasarkan 80 peratus daripada 10,000 tenaga pengajarnya menjadi pensyarah penyelidikan menjelang 2020, kata Naib Canselor Datuk Seri Prof Dr Sahol Hamid Abu Bakar.

Beliau berkata pada masa ini, 60 peratus daripada tenaga pengajar universiti itu adalah pensyarah penyelidikan yang terbabit menjalankan kajian dan penyelidikan terutamanya dalam sains gunaan, perubatan, kejuruteraan, sains kesihatan, sains sosial, perakaunan dan pengajian perniagaan.

"Mengajar dan menyelidik merupakan satu perkara yang perlu seiring dalam usaha memastikan sesuatu bidang pengajian dan pembelajaran dapat dijalankan dengan lebih berkesan serta selari dengan keperluan semasa," katanya pada sidang media di sini.

Prof Sahol Hamid berkata pensyarah penyelidikan juga penting dalam usaha menjadikan UiTM sebuah institusi pengajian tinggi bertaraf antarabangsa setanding dengan universiti ternama di dunia.

Untuk rekod, katanya, universiti itu menjalin kerjasama dengan 250 universiti di 45 negara di seluruh dunia termasuk dalam bidang membabitkan penyelidikan.

Mengenai penganjuran Konferensi Akademik 2013 pada 30 dan 31 Jan ini di Dewan Agong Tuanku Canselor UiTM, Prof Sahol Hamid berkata ia akan membabitkan 3,000 pensyarah muda UiTM di seluruh negara dalam usaha memberikan mereka pendedahan tentang teknik, keperluan dan tuntutan sebagai seorang tenaga pengajar terutamanya bidang penyelidikan.

Beliau berkata antara penceramah yang akan menyertai konferensi itu ialah Dr Andre Bender dari University of Cambridge, United Kingdom; Prof Dr Chesley John Skinner dari University of Lethbridge, Kanada; dan Dr Mahender Singh dari MIT Global SCALE Network Asia.

Menurutnya Profesor Emeritus Datuk Dr Shad Saleem Faruqi dari UiTM juga akan memberi ceramah berkaitan integriti akademik yang akan menyentuh mengenai hubungan pensyarah dengan penuntut, khidmat masyarakat dan etika. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan