suria

UiTM Juara Cabaran Debat Muda 21 Tahun

SERI ISKANDAR: Universiti Teknologi Mara (UiTM) muncul juara dalam pertandingan Cabaran Debat Muda 21 Tahun Untuk Alaf 21 (CDM 2121)antara Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta yang berlangsung di Universiti Teknologi Petronas di sini, Isnin.

UiTM, selaku pencadang, menewaskan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) pada pertandingan akhir yang membahaskan tajuk 'Dewan Ini Percaya Kemajuan Teknologi Merancang Nilai-Nilai Kemanusiaan'.

UiTM, yang diwakili Mohd Shahrin Ariff Md Idros, 20, dari kampus Alor Gajah, Melaka, Mohd Norhidayat Mohamad Khalid, 21, (Kedah), Nur Syifa Fatihah Daud, 19, (Shah Alam) dan Jasmiza Nurul Hazmira Hamzah, 20 (Perak), membawa pulang wang tunai RM2,121 serta trofi dan piala iringan manakala USIM menerima RM1,500 serta piala iringan.

Pertandingan yang bermula pada 23 November lepas, bertemakan 'Membudayakan Sains, Teknologi dan Inovasi Dalam Komunikasi: Teknologi Hijau Melestari Hari Esok' itu turut menyaksikan Mohd Shahrin dinobat Pendebat Terbaik Akhir untuk membawa pulang wang tunai RM300 serta piala.

Sebanyak 19 institusi pengajian tinggi awam dan swasta melibatkan 26 kumpulan menyertai pertandingan pertama anjuran UTP dengan kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Yayasan Orator, Majlis Debat Universiti-Universiti Malaya (MADUM) serta Dewan Bahasa dan Pustaka itu.

Sementara itu, Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Maglin Dennis D'Cruz berkata CDM 2121 merupakan platform terbaik untuk generasi muda negara mempelajari, mendalami serta mengasah bakat dalam pengucapan awam secara komprehensif dan menyeluruh.

"Pihak kementerian melihat program ini sebagai satu sumbangan yang sungguh baik dari Kelab Debat UTP bagi menyokong Program Transformasi kerajaan untuk melahirkan generasi muda yang berilmu, terbuka dan berfikiran kritis," katanya yang mewakili Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Beliau berkata sebagai rakyat negara ini, sudah menjadi tanggungjawab kita bersama bagi memastikan bangsa Malaysia kelak menjadi satu bangsa perintis dengan sifat inovasi, proaktif dan berdaya maju. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain