Dua Pelajar UMT Dianugerah Biasiswa Tuanku Canselor

Diterbitkan: Sabtu, 24 November 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA TERENGGANU: Dua pelajar Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dipilih menerima Biasiswa Tuanku Canselor 2012 (BTC 2012) yang baru diwujudkan.

Mereka ialah Ahmad Salihin Samsuddin, 25, dari Melaka, yang mengikuti program Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Pengajian Fizik dan Adiana Ghazali, 29, pelajar program PhD bidang Kimia Oseanografi.

Ahmad Salihin berkata beliau amat terkejut dan terharu dengan anugerah yang diberikan itu.

"Anugerah ini menjadi dorongan dan cabaran bagi saya meneruskan pengajian dalam program PhD," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Konvokesyen ke-10 UMT pada Sabtu.

Anugerah itu disampaikan Pro-Canselor UMT Tan Sri Samsuddin Osman.

Ahmad Salihin mula belajar di UMT pada 2006 dengan mengikuti program Ijazah Sarjana Muda sebelum menyambung pengajian di peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang sama pada Februari 2011.

"Saya berjaya menghabiskan pengajian master dalam tempoh lapan bulan sebelum memulakan pengajian PhD pada Mac tahun ini. Semua ini adalah berkat dorongan ibu bapa serta tunjuk ajar dan bantuan kerja-kerja penyelidikan daripada penyelia saya Dr Mohd Akmar Nizam Mohamad Isa," katanya yang ingin bekerja di UMT untuk membalas budi baik universiti itu.

Sementara itu, Adiana, anak Kampung Wakaf Mempelam di sini pula berkata biasiswa tersebut dapat membantu meringankan beban kewangan yang agak tinggi dalam bidang pengajian yang diikutinya kini.

"Saya terkejut dianugerahkan BTC 2012 yang pertama kali diwujudkan itu. Saya mengucapkan terima kasih kepada Canselor dan UMT sendiri. Ia dapat membantu pengajian saya dalam PhD," katanya anak bekas Timbalan Pengarah Pelajaran Terengganu itu.

Adiana berkata selepas menamatkan pengajian di peringkat ijazah sarjana muda di UMT, beliau bekerja sebagai pembantu penyelidik di universiti itu di bawah seliaan Profesor Dr Noor Azhar Mohamed Shazili.

Beliau berkata pada 2009, Noor Azhar turut melibatkannya dalam espedisi di Laut Sulawesi anjuran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

"Sebagai saintis muda pada ekspedisi itu, kami belayar pergi-balik dari Kota Kinabalu ke Tawau yang memakan masa tiga minggu tanpa henti. Semasa itu, kami buat penyelidikan dan kajian berterusan dalam bidang Kimia Oseanografi dan banyak menimba pengalaman pada program itu," katanya.

Sementara itu, seramai 2,080 pelajar UMT menerima sijil, diploma dan ijazah masing-masing pada konvokesyen yang berlangsung di Dewan Sultan Mizan hari ini, yang disempurnakan Sultanah Terengganu Tuanku Nur Zahirah selaku Canselor universiti tersebut.

Naib Canselor UMT Profesor Datuk Dr Ibrahim Komoo berkata jumlah graduan tahun ini meningkat sebanyak 14 peratus berbanding tahun lepas.

"Peningkatan ini sejajar dengan perancangan untuk meningkatkan bilangan pelajar kepada 8,500 menjelang 2015 dan angka 10,000 apabila negara mencapai status negara maju menjelang 2020. Setakat ini, UMT mempunyai 7,000 pelajar prasiswazah dan hampir 600 pelajar pasca siswazah," katanya.

Pada majlis itu, pakar perhutanan negara Tan Sri Dr Salleh Mohd Nor menerima Anugerah Doktor Kehormat Sains atas jasa dan sumbangan besar beliau manakala Anugerah Profesor Emeritus bidang Sains pula dikurniakan kepada Profesor Dr Mohd Azmi Ambak.

Ibrahim berkata UMT kini menawarkan 26 program pengajian prasiswazah melalui enam fakulti yang memberi penekanan kepada beberapa bidang utama khususnya sains dan teknologi, sains sosial, pengurusan dan ekonomi, pengurusan sumber alam, agro teknologi dan sains makanan serta maritim, dan sains marin.

"Program pengajian dalam bidang ini juga ditawarkan sehingga ke peringkat ijazah kedoktoran dan ketika ini, terdapat 612 pelajar mengikuti pengajian peringkat pasca siswazah sarjana dan kedoktoran.

"Selain itu, kita juga akan menawarkan tambahan bilangan program diploma bagi membantu memenuhi keperluan modal insan separuh mahir seperti Diploma Sains dan Teknologi, Diploma Pembangunan Sumber Marin dan Diploma Pengurusan Infrastruktur Marin," katanya.

Beliau juga berkata pelbagai usaha giat dijalankan untuk menjadikan UMT universiti antarabangsa seperti mewujudkan beberapa program prasiswazah dan pasca siswazah yang dikenali sebagai Program Antarabangsa.

Sementara itu, Tuanku Nur Zahirah dalam ucapannya bertitah UMT perlu terus berusaha memperkasakan kapasiti dan kualiti pegawai akademik, pegawai pengurusan dan profesional serta petugas sokongannya.

Baginda bertitah warga UMT juga harus menghayati budaya kerja cemerlang yang menjadikan visi serta misi universiti sebagai asas penghasilan perkhidmatan bermutu tinggi. - BERNAMA

iklan

Video

Isnin, 11 Disember 2017 9:00 AM

#BiziBody : De Fam Kantoi Gambar Selfie

Ahad, 10 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Aziz Harun - Jangan

Jumaat, 8 Disember 2017 10:55 PM

Abam Bocey Malu Manja Dengan Isteri Depan Kamera

Jumaat, 8 Disember 2017 8:15 PM

Malaysia Tak Diam Diri, Terus Bela Nasib Palestin

Jumaat, 8 Disember 2017 2:02 PM

Zarul Husin Takut Tua

Jumaat, 8 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Awi Rafael - Kau Di Hatiku

Khamis, 7 Disember 2017 8:00 PM

Nadzmi Adhwa Dikurung Selepas Kantoi Dadah

Rabu, 6 Disember 2017 2:00 PM

"Makin Ramai Nak Taja Saya" - Wany Hasrita

Kolumnis

iklan

Iklan