suria

USM Hantar Pengkaji Ke Luar Negara Kaji Peradaban Melayu

GEORGE TOWN: Universiti Sains Malaysia (USM) akan menghantar sekumpulan pengkajinya ke Australia Barat dan Afrika Selatan untuk mengkaji dan mendokumentasikan sejarah peradaban Melayu di sana.

Naib Canselor USM Prof Datuk Dr Omar Osman berkata kumpulan pengkaji itu juga akan mengkaji sama ada peradaban Melayu di dua negara berkenaan mempunyai kaitan dengan Melayu di Malaysia terutama di Pulau Pinang.

Beliau berkata keputusan untuk menghantar pengkaji ke luar negara merupakan fasa kedua untuk program peradaban Melayu yang dijalankan oleh USM dan dijangka kumpulan pengkaji itu akan dihantar dalam tempoh setahun atau dua tahun lagi.

"Fasa pertama berhubung peradaban Melayu di Pulau Pinang yang telah dijalankan sejak dua tahun lepas hampir siap, semua dokumen, fakta, gambar dan maklumat berhubung kajian itu sedang didokumentasikan dan dijangka siap dalam tempoh terdekat.

"Buku berhubung kajian itu dijangka siap penghujung tahun ini atau selewat-lewatnya awal tahun depan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa dan Pameran Pulau Pinang di Alam Melayu di USM, Isnin.

Persidangan selama dua hari yang bermula esok itu adalah anjuran Projek Warisan Melayu Pulau Pinang, Pusat Penyelidikan Dasar dan Kajian Antarabangsa (CenPRIS), Universiti Teknologi Petronas dan Persatuan Sejarah dan Warisan Melayu Pulau Pinang.

Sementara itu, Pengerusi Persidangan Antarabangsa dan Pameran Pulau Pinang di Alam Melayu Prof Emeritus Muhammad Salleh berkata seminar itu berhasrat menggalakkan pendokumentasian sumber-sumber lama dan baharu, lisan serta bertulis serta tentang sejarah Pulau Pinang.

"Ia juga bagi membuka kembali wacana Pulau Pinang dari pelbagai sudut dan memberikan ruang kepada pandangan, pemikiran dan budaya anak negeri serta membantu memulakan kajian tentang Seberang Perai," katanya.

Beliau berkata satu pameran berkaitan alam Melayu di Pulau Pinang juga diadakan di perpustakaan USM mulai hari ini hingga 30 November ini.

"Pada pameran itu sebanyak 300 artifak berkaitan cara hidup, bekerja, penempatan dan banyak lagi tentang alam Melayu Pulau Pinang dipamerkan. Orang ramai dijemput menghadirinya dan masuk adalah percuma," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain