suria

USM Perkenal Teknologi Salur Maklumat Perikanan Secara SMS

GEORGE TOWN: Universiti Sains Malaysia (USM) menerusi Pusat Pengajian Sains Komputer memperkenalkan teknologi penyampaian maklumat pengurusan perikanan menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) khusus untuk kegunaan nelayan Thailand.

Ketua Projek, Mohd Azam Osman berkata maklumat pengurusan perikanan itu akan disalurkan secara terus kepada telefon bimbit pengguna yang mendaftar dengan sistem yang dinamakan 'M-Community GreenEvePeace'.

Beliau berkata sistem itu telah diperkenalkan kepada komuniti nelayan Persatuan Khun Talay dari Selatan Thailand dengan usaha sama Suratthani Rajabath University (SRU).

"Menerusi projek perintis ini yang telah berjalan sejak enam bulan lepas, pengguna memberi maklum balas positif dan mampu meningkatkan tangkapan ikan nelayan di negara itu," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis menandatangani memorandum persetujuan (MoA) di antara USM dengan SRU, di sini, Khamis.

Timbalan Canselor Hal Ehwal Akademik Dan Antarabangsa USM, Prof Ahmad Shukri Mustafa Kamal menandatangani bagi pihak USM dan Timbalan Naib Canselor dan Naib Presiden Perancangan dan Pembangunan, Prof Madya Dr Prayote Kupgarnjanagool pula mewakili SRU.

Mohd Azam berkata buat masa ini perkhidmatan itu diberi secara percuma kepada kumpulan sasar melibatkan nelayan persisiran pantai dan sungai di negara berkenaan.

"Segala maklumat aktiviti perikanan seperti cuaca, teknik menternak hidupan akuatik akan disalurkan kepada pengguna dan mereka juga boleh mengemukakan soalan secara terus kepada pihak SRU menggunakan aplikasi itu," katanya.

Beliau berkata inovasi itu pada mulanya diilhamkan sekumpulan pelajar tahun akhir pada tahun 2009 dan ia telah memenangi anugerah 'Imagine Cup' di Mesir pada tahun sama.

Katanya program itu turut diperkenalkan kepada 200 pesawah di Alor Setar, Kedah sebagai projek perintis dengan kerjasama Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA).

Mohd Azam berkata sejak lebih setahun projek itu dilaksanakan, 96.5 peratus pengguna memberi maklum balas positif dan skop kegunaannya akan diperluaskan lagi pada masa akan datang. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain