UIAM Cipta Kereta Elektrik Mesra Alam

Diterbitkan: Khamis, 18 Oktober 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) melakar sejarah apabila mencipta kereta mesra alam berkuasa elektrik sepenuhnya tahun ini.

Kira-kira 27 pensyarah dan penuntut universiti itu, yang menghasilkan kenderaan berinovasi itu dalam masa 10 bulan sejak awal tahun ini, muncul juara dalam pertandingan Proton Green Mobility Challenge 2012 yang dianjurkan buat julung kali di negara ini.

Rektor UIAM Prof Datuk Sri Dr Zaleha Kamarudin berkata kejayaan itu merupakan hadiah amat bermakna buat universiti itu sempena ulang tahun ke-30 UIAM.

Kejayaan itu juga membuka ruang lebih luas kepada UIAM untuk menyertai pertandingan inovasi bertaraf antarabangsa, katanya pada sidang media di UIAM dekat sini, Khamis.

Timbalan Rektor (Penyelidikan dan Inovasi) Prof Dr Ahmad Faris Ismail pula berkata UIAM akan meneruskan penyelidikan dan inovasi bagi menambah baik sistem kereta mesra alam itu untuk diaplikasikan dalam kenderaan sedia ada. Pelajar Sarjana Kejuruteraan Automotif UIAM yang juga peserta projek itu Ahmad Hilmi Khalid berkata inovasi bagi penghasilan kereta itu menggunakan teknologi hijau baharu dan pertama di negara ini iaitu Sistem Penyejukan Bateri untuk kereta elektrik.

"Kereta ini tidak perlukan petrol dan gas sebab ia mengguna kuasa elektrik sepenuhnya. Bateri perlu dicas dalam tempoh tiga jam setengah dan boleh digunakan antara 70 dan 100 kilometer," katanya.

Menurutnya kelebihan kereta itu ialah ia sifar bunyi dan asap kerana tidak menggunakan enjin.

Ahmad Hilmi berkata beliau sedang menyiapkan kertas kerja berhubung teknologi baharu itu untuk dibentangkan pada satu persidangan di Kota Kinabalu, Sabah pada Disember nanti.

UIAM diberikan geran penyelidikan Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bernilai RM50,000 sebagai hadiah kemenangan pertandingan itu. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan