suria

KIST Cadang Kembangkan Sayap Ke Luar Negara

KOTA BAHARU: Kolej Islam Antarabangsa Sains dan Teknologi (Kist) bercadang untuk memperluaskan perniagaan dalam pelbagai bidang mengikut keperluan semasa hingga ke luar negara, kata Pengerusi Lembaga Penasihatnya Datuk Tengku Putera Tengku Awang.

Beliau yang juga Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu berkata kolej itu juga kini dalam proses perbincangan membuka peluang perniagaan dengan beberapa pihak di luar negara, seperti Kemboja, Vietnam, Kenya, Maghribi dan Indonesia. "Selain itu, kami akan mengembangkan perniagaan sedia ada dalam bidang seperti rawatan tradisional, industri pemakanan halal dan industri penjagaan warga emas," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvokesyen Ke-5 Kist di sini, Khamis.

Hadir sama, Presiden Kist Muhammad Zamly Abdullah dan Ketua Eksekutif Kist Kampus Ibnu Sina Kelantan Taib A Rahim.

Pada istiadat konvokesyen ke-5 kolej itu, seramai 1,800 penuntut dari Kampus Kelantan dan Terenggunu menerima anugerah masing-masing dalam pelbagai bidang di peringkat diploma.

Antaranya Diploma Psikologi, Pengajian Syariah, Kejururawatan, Pembantu Perubatan, Radiografi Diognostik, Sains Senaman dan Sukan, Teknologi Makmal Perubatan serta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan. "Kami memberi tumpuan dalam bidang sains dan teknologi kerana tenaga kerja dalam bidang itu diperlukan dalam aspek pembangunan kesihatan masyarakat dan negara," katanya.

Beliau berkata, Kist juga mengadakan pendekatan dan strategi dalam membantu pelajar yang kurang berkemampuan untuk melanjutkan pelajaran ke pusat pengajian tinggi.

Antara strategi itu, katanya, memberi pendidikan bertaraf profesional dengan menawarkan kos yang rendah dan mampu bagi pelajar serta menyediakan tenaga kerja yang profesional, khasnya petugas akademik yang berpengalaman dalam bidang masing-masing.

Sementara itu, seorang daripada pelajar yang menerima anugerah pada majlis itu, Siti Rohajar Mat Jusoh, 25, dari Kampung Baharu, Bachok berkata kejayaannya adalah berkat sokongan daripada keluarga serta majikan. Beliau mendapat keputusan CGPA 3.42 dalam bidang Diploma Kejururawatan.

Siti Rohajar anak seorang petani dan bekerja sambilan sebagai pembantu rumah, mendapat tajaan Mara sebanyak RM57,000 untuk menyambung pelajaran di kolej itu. "Walaupun susah tetapi pelajaran tetap kena utamakan selain sokongan daripda keluarga serta majikan," katanya.

Seorang lagi penerima Anugerah Khas Presiden, A. Harsheeni, 21, bersyukur kerana mendapat kejayaan cemerlang dalam bidang Diploma Pembantu Farmasi dengan CGPA 3.84.

"Saya amat tertarik dengan cara pensyarah mengajar kerana mudah dapat memahami apa yang diterangkan," kata penuntut wanita itu. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain