suria

23 Warga Emas Antara 2,100 Pelajar Baru PJJ USM

GEORGE TOWN: Seramai 23 orang warga emas adalah antara 2,100 orang yang mandaftar sebagai pelajar baru Pengajian Jarak Jauh (PJJ) Universiti Sains Malaysia (USM) pada Jumaat.

Naib Canselor USM, Prof Datuk Dr Omar Osman berkata, selain warga emas, tujuh Orang Kelainan Upaya (OKU) turut mendaftar sebagai pelajar baru dalam pelbagai program ijazah yang ditawarkan.

"Sebanyak 36 peratus pelajar mendaftar dalam program Pengurusan, 35 peratus bagi program Sains Kemasyarakatan, 22 peratus bagi program Sains dan baki tujuh peratus mengikuti program Sastera," katanya pada sidang akhbar di sini.

Beliau berkata, pada setiap sidang akademik setiap tahun, USM mengeluarkan antara 800 sehingga 1,000 graduan PJJ dan kebanyakan mereka belajar untuk menambahkan ilmu pengetahuan dan menaikkan taraf hidup masing-masing.

Salah seorang pelajar warga emas yang ditemui, Oon Lay Wah, 54, berkata beliau bersemangat untuk menyambung pengajian walaupun sedang menghitung hari persaraan kerana ingin berkhidmat kepada masyarakat walaupun telah bersara kelak.

Onn, guru dari Sekolah Kebangsaan Bendang Siam, Changkat Jering, Perak berkata, beliau mengajar Bahasa Inggeris di sekolahnya dan kini beliau menimba ilmu baru dalam bidang Antropologi dan Sosiologi.

"Saya mahu menggunakan ilmu yang baru dipelajari untuk mendidik anak bangsa kita dan menyampaikan ilmu kepada generasi muda," katanya. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain