suria

Kumpulan Pertama Penuntut Perubatan M'sia Di Rep.Czech Terima Ijazah

KUALA LUMPUR: Kumpulan pertama 50 penuntut perubatan Malaysia tajaan kerajaan memperoleh ijazah perubatan masing-masing dari universiti-universiti di Republik Czech dengan kebanyakan daripada mereka memperoleh keputusan cemerlang.

Duta Malaysia ke Republik Czech, Zainal Abidin Bakar menghadiri majlis penganugerahan ijazah yang diadakan khusus untuk graduan Malaysia dari Fakulti Perubatan dan Pergigian, Palacky University di Olomouc, Republik Czech pada Jumaat.

Majlis itu diserikan dengan kehadiran Datuk Bandar Olomouc, Martin Novotny dan tokoh terkenal masyarakat, demikian menurut satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Kedutaan Besar Malaysia di Praque.

Pada majlis itu, 16 penuntut Malaysia memperoleh Ijazah MUDr. (Medicinae Universae Doctor).

Lima belas penuntut lagi akan menerima ijazah dari Fakulti Perubatan di Hradec Kralove, pada 12 Julai dan diikuti 19 lagi penuntut dari First Faculty of Medicine, Charles University, Prague pada 27 Julai.

Kedutaan berkata, penerima biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) Yana Nazlan, akan menerima ijazah perubatan dengan kepujian dari First Faculty of Medicine, Charles University, Prague pada 27 Julai.

Yana adalah penuntut ketiga yang menerima kepujian di bawah program bahasa Inggeris oleh universiti itu sejak 1990.

Pada masa ini, terdapat sejumlah 350 penuntut Malaysia tajaan kerajaan melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan di universiti-universiti di Republik Czech.

Bermula pada 2006, program menghantar penuntut ke Republik Czech adalah selaras dengan objektif kerajaan untuk meningkatkan nisbah doktor dan pesakit dari 1:800 kepada 1:400 menjelang tahun 2020. - BERNAMA

Artikel Lain