suria

Universiti AS Tawar Biasiswa Kepada Pelajar Malaysia Di Adelaide

MELBOURNE: Kampus Adelaide Carnegie Mellon University menawarkan empat separa biasiswa bernilai 50 peratus yuran tuisyen program sarjana kepada pelajar Malaysia.

Ia adalah di bawah program biasiswa Peringatan Rancangan Colombo Malaysia Australia (MACC) yang diterajui dan diselaraskan oleh Majlis Alumni Malaysia Australia dan disokong oleh Suruhanjaya Tinggi Australia di Kuala Lumpur.

"Ini adalah peluang hebat bagi generasi muda Malaysia untuk belajar di sebuah universiti penyelidikan Amerika yang tersohor di peringkat antarabangsa," kata Darren Turner, Pengarah Pengurusan dan Pengambilan MCU di Adelaide, kepada Bernama.

Beliau berkata CMU memang bekerjasama rapat dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) Malaysia untuk menyediakan peluang-peluang pendidikan dan latihan bagi penjawat awam untuk mengikuti pengajian program ijazah sarjana di Australia.

Professor Terry F. Buss, Pengarah Eksekutif dan Pensyarah Dasar Awam CMU, baru-baru ini membentangkan kertas kerjanya pada seminar bertajuk "Pengurusan Perkhidmtan Awam dalam Persekitaran Berbilang Budaya" di Razak School of Government di Kuala Lumpur.

"Visi utama Razak School of Government ialah untuk diiktiraf sebagai institusi pennyelidikan dan latihan global dan perdana bagi kepimpinan sektor awam dalam penyampaian dasar dan perkhidmatan," kata CMU dalam satu kenyataan.

"Platform yang kami tawarkan bagi perkongsian pengetahuan dan interaksi intelek memupuk penjawat awam berprestasi tinggi yang diperlukan oleh Malaysia untuk mencapai Wawasan 2020," kata CUM.

Sejak dibuka di Adelaide lima tahun lepas, CMU Adelaide mengambil seorang pelajar Malaysia Adilah Hudzari, dari Kerajaan Negeri Selangor, yang menamatkan pengajian dengan memperoleh ijazah Sarjana Sains Dasar Awam dan Pengurusan pada 2010. -BERNAMA

Artikel Lain