UMS Terima 41 Pingat Hasil Inovasi Berkualiti

Diterbitkan: Khamis, 12 April 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS)menerima 41 pingat termasuk 11 anugerah pingat emas dalam pertandingan pameran dan rekacipta di dalam dan luar negara sepanjang tahun lepas, kata Naib Canselornya Prof Datuk Seri Dr Kamaruzaman Ampon.

Beliau berkata ini menunjukkan kualiti penyelidikan dan rekacipta ahli akademik UMS kini diiktiraf di peringkat antarabangsa.

"Saya harap pencapaian ini dapat menyuburkan lagi budaya penyelidikan dan innovasi di kalangan warga UMS dan penyelidiknya," katanya ketika berucap pada majlis perasmian seminar harta intelek peringkat negeri Sabah di kampus induk universiti itu di sini, Khamis.

Kamaruzaman berkata universiti bukan sahaja satu pusat melahirkan modal insan yang cemerlang tetapi juga menjadi satu pusat untuk menghasilkan harta intelek yang berkualiti dan bermutu tinggi.

"Harta intelek yang telah dihasilkan seharusnya diberi perlindungan. Ini kerana harta intelek yang terhasil daripada penyelidikan dan inovasi merupakan aset penting kepada universiti dan ada di antaranya mampu menjana pendapatan kepada universiti sekiranya dikomersilkan," katanya.

Kamaruzaman berkata tahap kesedaran mengenai kepentingan harta intelek masih belum meluas di negeri ini, dan berharap seminar itu akan menyedarkan orang ramai akan kepentingan perlindungan harta intelek. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan