Saintis USM Cipta Reaktor Tiub Nano Karbon

Diterbitkan: Selasa, 10 April 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

GEORGE TOWN: Sekumpulan saintis Universiti Sains Malaysia (USM) telah mencipta sebuah mesin yang dipanggil reaktor putaran untuk menghasilkan tiub nano karbon bagi tujuan pengeluaran tiub nano berskala besar.

Tiub nano karbon adalah sejenis logam yang berfungsi untuk mengukuhkan tahap elastik sesuatu bahan yang diperbuat daripada logam seperti raket badminton, teknologi terbaru dalam pembuatan badan kereta, kapal terbang dan sebagainya.

Inovasi teknologi nano dari Jepun pada tahun 1991 dan telah digunakan secara meluas dalam industri elektronik, perubatan, automotif serta pertahanan.

Ketua penyelidik Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia, Prof Dr Abdul Rahman berkata hasil penyelidikan selama 12 tahun, mereka telah berjaya mencipta bahan asas tiub nano karbon hasil daripada ekstrak gas asli dengan bahan pemangkin yang dirahsiakan dan lebih mesra alam.

"Reaktor yang baru ini menggunakan teknik putaran mendatar boleh beroperasi 24 jam dengan ruang terhad serta hanya memerlukan seorang operator untuk mengendalikannya," kata beliau kepada pemberita di sini, Selasa.

Katanya untuk memasarkan tiub nano secara komersial, jabatan itu telah menubuhkan syarikat Advance Nano Carbon Sdn Bhd menerusi geran penyelidikan tajaan Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) sebanyak RM1.34 juta dan menyasarkan pengeluaran sebanyak 300 kilogram tiub nano dalam setahun.

Harga pasaran semasa bagi satu gram logam mineral itu adalah dari RM300 hingga RM3,000.

Prof Rahman berkata jabatan itu juga bersedia memindahkan teknologi itu kepada organisasi yang berminat dengan terma dan syarat tertentu. "Pada masa akan datang industri ini akan berkembang dan lebih banyak peralatan akan diperbuat dengan menggunakan tiub nano sebagai bahan terpenting. Jika kita dapat kurangkan kos pengeluaran pasaran mineral ini akan dapat diperluaskan," katanya. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan