suria

Kolej Komuniti Berjaya Pupupk Budaya Pembelajaran Sepanjang Hayat - Khaled Nordin

SEGAMAT: Penubuhan kolej komuniti berjaya memupuk dan menanam budaya pembelajaran sepanjang hayat pada kalangan rakyat negara ini sekali gus memberi sumbangan kepada kemajuan negara.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata kolej komuniti mempunyai banyak kelebihan dalam membantu membudayakan ilmu kerana bilangannya yang banyak, menawarkan pelbagai program latihan kemahiran, yuran yang murah serta kaedah pembelajaran yang fleksibel.

"Kerajaan melalui Kementerian Pengajian Tinggi menubuhkan 78 buah kolej komuniti di seluruh negara dengan 50 daripadanya merupakan kampus induk manakala 28 lagi adalah kampus cawangan.

"Di Johor sahaja terdapat 12 buah kolej komuniti dengan tujuh daripadanya adalah induk manakala bakinya adalah cawangan," katanya berucap pada majlis perasmian Kolej Komuniti Segamat 2 dan perjanjian persefahaman dengan Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat) yang dilakukan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, di sini, Sabtu.

Mohamed Khaled yang juga anggota Parlimen Pasir Gudang, berkata seramai 211,884 peserta dari kelompok umur 15 tahun hingga warga emas telah menyertai kursus jangka pendek di bawah Proram Latihan 1Malaysia yang ditawarkan kolej komuniti tahun lepas.

Beliau berkata penyertaan yang ramai itu membuktikan kolej komuniti amat komited dalam membuka peluang dan akses kepada pembelajaran sepanjang hayat mengikut kehendak dan keperluan komuniti dalam usaha berterusan memperkasakan rakyat negara ini.

Sementara itu, mengenai perjanjian persefahaman antara pihaknya dengan Perhebat, Mohamed Khaled berkata kolej komuniti bukan sahaja kini disertai pelajar lepasan menengah dan setempat, malah turut menjadi pilihan tentera yang bakal bersara.

Katanya seramai 63 bakal pesara tentera direkodkan menyertai kolej komuniti di negeri ini dengan 36 daripadanya di Kolej Komuniti Segamat 2, yang kebanyakannya dari Kem Syed Sirajuddin, Gemas, Negeri Sembilan.

Mengenai Kolej Komuniti Segamat 2, beliau berkata kampus kekal di atas tapak seluas 7.2 hektar dengan kos pembinaan RM13 juta itu membuktikan kesungguhan kerajaan menyediakan infrastruktur pendidikan terbaik.

"Kolej ini mula beroperasi pada 1 Mac 2003 secara sementara di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Jementah sebelum berpindah ke kampus kekal ini pada Julai 2005.

"Kolej ini kini mempunyai 600 pelajar dan 75 kakitangan akademik serta pentadbiran. Seramai 1,262 orang pelajar direkodkan telah mendaftar sehingga kini sejak pengambilan pertama pada 17 Jun 2003," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain