UMP Kongsi Kepakaran Pengurusan Sungai Dengan Universiti Seoul

Diterbitkan: Khamis, 1 Mac 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Universiti Malaysia Pahang (UMP) akan bekerjasama dengan Universiti Seoul, Korea Selatan dalam hal pengurusan sungai terutama berkaitan pencemaran.

Menyatakan demikian, Naib Canselor UMP, Prof Datuk Dr Daing Nasir Ibrahim berkata pakar-pakar dari Universiti Seoul mempunyai kepakaran yang amat luas dalam bidang mengurus dan memulihara kesihatan sungai.

"Di negara ini menunjukkan peningkatan bilangan sungai dalam kategori kelas empat dan lima (tercemar) dan merupakan satu perkara yang agak membimbangkan.

"Oleh itu bilangan sungai dalam kategori kelas satu dan dua (tidak tercemar) semakin berkurangan yang bermakna sumber bekalan air bersih semakin terjejas," katanya semasa berucap pada majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) universiti itu dengan Universiti Seoul.

Universiti Seoul diwakili oleh Penyelidik dari Fakulti Sains dan Sumber Alam, Prof Hyunook Kim manakala UMP diwakili Naib Canselornya dan Pengarah Pusat Penyelidikan dan Pengurusan Sumber Alam (CERRM) UMP Dr Wan Mohd Faizal Wan Ishak. Dalam pada itu, UMP menerusi CERRM dengan kerjasama Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS) menganjurkan seminar 'Managing River Health' bagi menimba perkongsian ilmu dan kepakaran dari teknologi Korea serta membincangkan pelbagai aspek berkaitan pengurusan sungai.

Seminar dua hari itu, dirasmikan Ketua Pengarah JPS Datuk Ir Ahmad Husaini Sulaiman, dihadiri 100 peserta antaranya dari JPS, Lembaga Urus Air Selangor dan Kelantan Utilities Mubarakan Holding Sdn Bhd. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan