USM Bangunkan Sistem Forensik Digital Untuk Jenayah Siber

Diterbitkan: Selasa, 28 Februari 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

GEORGE TOWN: Siasatan kes jenayah siber di negara ini dijangka menjadi lebih mudah menerusi satu sistem forensik digital yang dibangunkan Pusat Pengajian Sains Komputer, Universiti Sains Malaysia (USM).

'Forensic Analysis and Discovery System' atau FADS itu dapat membantu pegawai forensik Teknologi Maklumat (IT) mencari bukti daripada sistem IT untuk analisis lanjut, kata pensyarah kanan pusat pengajian itu, Dr Aman Jantan.

"Bukti-bukti digital ini hilang dengan cepat. Contohnya kalau berlaku kejadian seseorang godam akaun bank kita, bila kita lapor pihak berkuasa buat siasatan, kita nak cari bukti dekat mana? Jadi ini antara contoh masalah yang kita cuba selesaikan," katan pada sidang media, di sini Selasa.

Beliau berkata sistem itu melibatkan proses memeriksa dan mengenal pasti bukti terutama daripada aktiviti meragukan yang dikesan dalam sistem rangkaian IT sesebuah organisasi.

Katanya berdasarkan statistik CyberSecurity Malaysia, jenayah siber meningkat setiap bulan dengan lebih 30,000 aktiviti jenayah siber berlaku setiap hari.

FADS katanya sesuai digunakan oleh agensi seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Kementerian Pertahanan, polis serta institusi perbankan dan insurans.

Beliau berkata FADS akan dipasarkan menjelang hujung tahun ini.

FADS yang memenangi pingat perak pada Ekspo Teknologi Malaysia 2012 yang lepas, dibangunkan dengan kos lebih RM230,000, katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan