suria

USM Menang Lapan Pingat Emas Reka Cipta Inovasi, Sains & Teknologi

KOTA BAHARU: Universiti Sains Malaysia (USM) melakar sejarah dalam pertandingan reka cipta inovasi, sains dan teknologi apabila merangkul lapan pingat emas pada Ekspo Teknologi Malaysia (MTE) di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Naib Canselor USM Datuk Dr Omar Osman berkata kejayaan itu melonjakkan lagi nama USM sebagai institusi pendidikan kesihatan, yang bukan sahaja melahirkan pelajar tetapi juga tenaga pengajar kreatif serta berinovasi dalam bidang penyelidikan perubatan.

Antara pingat emas yang dimenangi penyelidik USM ialah bagi penyelidikan mengesan penyakit taun atau "Oligo-CT Strip" oleh Dr Chan Yean Yeam, perubatan angin ahmar BAL-EX STROKE" oleh Dr Zuraida Zainun dan tukun gamat oleh Dr Farid Che Ghazali.

Selain pingat emas, katanya, doktor pakar dari USM juga memenangi pingat perak bagi reka cipta penyelidik serta dua produk lain meraih pingat gangsa.

"Turut melakar sejarah berganda ialah produk penyelidikan oleh Prof Dr Abdul Rashid Mohamed dan penyelidik bersama Dr Lin Siew Eng dan Dr Shaik Abdul Malik Ismail dari Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan yang diiktiraf sebagai Rekacipta Terbaik. "Kupayaan penyelidik membawa pulang lapan pingat emas ini disifatkan sebagai kejayaan pembukaan tirai 2012 yang mampu menyuntik semangat untuk mereka mencapai kejayaan lebih cemerlang di masa akan datang," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan projek ruang menunggu pesakit Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, dekat sini, Rabu.

Turut hadir pada majlis itu ialah Pengarah Urusan Syarikat Uvest Sdn Bhd (Uvest) Datuk Dr Nik Haidi Nik Mohamad dan Pengerusi Lembaga Pengarahnya Prof Datuk Dr Mafauzy Mohamed yang juga Pengarah Kampus Kesihatan USM Kubang Kerian.

Dr Omar berkata beberapa produk yang dihasilkan para penyelidik USM itu akan dipamerkan di ekspo luar negara termasuk di Korea dari 3 hingga 6 Mac depan.

Selain itu, pihaknya juga akan menggunakan produk berkenaan bagi tujuan kajian penyelidikan dan perubatan oleh para pelajar universiti itu.

Katanya kejayaan itu amat membanggakan kerana HUSM tidak hanya dianggap sebagai pusat melahirkan pelajar dan tenaga pengajar dalam bidang kesihatan malah menjadi pusat penyelidik dalam enovasi sains teknologi ke persada dunia. Projek bangunan tambahan ruang menunggu itu, yang menelan belanja RM100,000, dilaksanakan oleh Uvest, anak syarikat USains Holdings Sdn Bhd yang ditubuhkan pusat pengajian itu.

Sementara itu, Dr Nik Haidi berkata langkah Uvest melaksanakan projek bangunan tambahan ruang menunggu itu bertujuan memberi keselesaan kepada pesakit dan pengiring pesakit yang menerima rawatan di hospital itu.

Kos pembinaan projek itu dibiayai oleh hasil pungutan bayaran tempat letak kereta yang dikendalikan syarikatnya di kawasan hospital itu sejak dua tahun lepas. "Ia sebagai memenuhi tanggungjawab korporat HUSM kepada masyarakat umum, khasnya pesakit dan pelawat hospital," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain