suria

Henti Visa Tak Jejas Kedatangan Pelajar Antarabangsa - Menteri

KUALA LUMPUR: Keputusan Kementerian Pengajian Tinggi untuk menghentikan pengeluaran visa ketibaan dan pas lawatan sosial kepada penuntut asing tidak akan menjejaskan kemasukan pelajar antarabangsa ke negara ini, kata Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Menurut menteri pengajian tinggi itu, Malaysia sentiasa menawarkan pengajian yang kompetitif dan berkualiti kepada penuntut asing yang berminat untuk menyambung pengajian di negara ini.

"Teknologi maklumat seperti internet memudahkan pelajar asing mendapatkan maklumat pengajian yang ditawarkan di Malaysia selain pelajar asing yang pernah menuntut di negara ini menjadi 'duta' dengan menyampaikan maklumat kepada pelajar-pelajar di negara mereka," katanya kepada pemberita selepas penganugerahan pingat Tunku 2011 dan penyampaian bantuan pelajaran Yayasan Tunku Abdul Rahman (YTAR) di Memorial Tunku Abdul Rahman Putra di sini, Selasa.

Beliau diminta mengulas laporan akhbar hari ini yang memetik Ketua Pegawai Eksekutif Kolej Antarabangsa Yayasan Melaka, Datuk Saroni Judi sebagai berkata bahawa langkah menghentikan pemberian visa ketibaan dan pas lawatan sosial kepada penuntut asing boleh menjejaskan kemasukan pelajar asing ke Malaysia.

Mohamed Khaled menjelaskan, langkah menghentikan pemberian visa ketibaan dan pas lawatan sosial kepada penuntut asing adalah bagi mengekang penyalahgunaan visa dan pas berkenaan.

Namun begitu, beliau memberi jaminan penuntut asing yang telah mendapat tawaran melanjutkan pengajian di Insitusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) di negara ini akan diberi visa pelajar jika mereka memohonnya.

Terdahulu, Yayasan Tunku Abdul Rahman (YTAR) memperkenalkan skim Bantuan Pelajaran Tunku Abdul Rahman (BPTAR) bagi membantu pelajar IPTA yang kurang berkemampuan.

Seramai 10 pelajar masing-masing dari 20 buah IPTA termasuk Universiti Malaya (UM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) menerima bantuan RM250 seorang sebulan.

Sementara itu, tiga graduan menerima anugerah Pingat Tunku 2011 kerana pencapaian cemerlang dengan purata nilai gred kumulatif 3.80 dan aktif dalam bidang kokurikulum sepanjang pengajian mereka di universiti masing-masing.

Mereka ialah graduan ijazah perubatan Universiti Malaya, Ng Rong Xiang yang menerima pingat emas dan wang tunai RM5,000, graduan Perubatan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Siti Fatimah Hussain yang menerima pingat perak dan RM3,000 manakala graduan pergigian Universiti Sains Malaysia, Karen Voon Kai Rou menerima pingat gangsa dan wang tunai RM1,000.

Artikel Berikut

Artikel Lain