suria

Program Keusahawanan Siswazah UPM-MTDC Ketengahkan 13 Teknologi

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UPM, Prof Datuk Ir Dr Mohd Saleh Jaafar (kiri) dan Ketua Eksekutif MDTC, Norhalim Yunus (kanan) menukar dokumen perjanjian pengkormesilan di bawah Program Keusahawanan UPM dan MTDC sambil disaksikan oleh Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah (tengah). Foto ihsan UPM.
Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UPM, Prof Datuk Ir Dr Mohd Saleh Jaafar (kiri) dan Ketua Eksekutif MDTC, Norhalim Yunus (kanan) menukar dokumen perjanjian pengkormesilan di bawah Program Keusahawanan UPM dan MTDC sambil disaksikan oleh Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah (tengah). Foto ihsan UPM.
Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UPM, Prof Datuk Ir Dr Mohd Saleh Jaafar (kiri) dan Ketua Eksekutif MDTC, Norhalim Yunus (kanan) menukar dokumen perjanjian pengkormesilan di bawah Program Keusahawanan UPM dan MTDC sambil disaksikan oleh Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah (tengah). Foto ihsan UPM.

SERDANG: Universiti Putra Malaysia (UPM) berjaya mengetengahkan sebanyak 13 teknologi untuk dikomersialkan oleh 16 usahawan menerusi Program Keusahawanan Siswazah dengan kerjasama Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC).

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UPM, Prof Datuk Ir Dr Mohd Saleh Jaafar berkata, usahawan itu merupakan bekas siswazah universiti itu yang terpilih melalui 10 syarikat terbitan bersama penyelidik UPM.

“Usahawan yang terpilih telah menjalani program induksi anjuran UPM pada akhir tahun 2010 bagi membentuk dan memperkukuhkan kemahiran keusahawanan serta membentuk jati diri mereka untuk menceburi bidang perniagaan.

“Kami percaya 13 teknologi terpilih ini merupakan antara teknologi terbaik yang dihasilkan oleh penyelidik-penyelidik UPM,” katanya pada majlis Pertukaran Dokumen Perjanjian Pengkormesilan di bawah Program Keusahawanan UPM dan MTDC di sini, Jumaat.

Majlis disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah. Turut hadir ialah Ketua Eksekutif MTDC, Norhalim Yunus.

Antara 13 teknologi terpilih itu ialah biobaja untuk pengeluaran tanaman lestari, pengimbas spektrum tinggi bagi buah-buahan segar dan perisian fonik yang merupakan tutor untuk murid-murid yang mengalami masalah disleksia visual.

Dr Mohd Salleh berkata, pemilihan 13 teknologi itu dilaksanakan oleh MTDC berdasarkan kesediaan teknologi berkenaan untuk berada di pasaran dan nilainya.

“Penglibatan sebegini turut membantu UPM melonjakkan tahap pencapaian penyelidikan dan inovasi ke peringkat antarabangsa melalui penjanaan kekayaan.

“Ini akan memudahkan lagi proses pengkormersilan teknologi kerana segala maklumat tentang aspek teknikal dan ‘know how’ teknologi akan lebih mudah diperoleh oleh syarikat terbitan UPM,” katanya.

Beliau menjelaskan, MTDC bertindak sebagai penaja program dan pembimbing pembangunan perniagaan manakala UPM pula menyediakan dan memindahkan teknologi yang telah sedia untuk dikomersialkan.

“MTDC telah menyalurkan pendahuluan sebanyak RM100,000 bagi penubuhan 10 syarikat terbitan (syarikat yang baru bertapak dalam dunia perniagaan dengan modal teroka) merangkumi kos penyediaan keperluan dan dokumentasi penubuhan syarikat.

“Saya juga difahamkan bahawa MTDC turut bersetuju menyediakan peruntukan pendahuluan sebanyak RM150,000 kepada syarikat-syarikat ini untuk membantu syarikat memulakan operasinya,” katanya sambil memberitahu MTDC menyediakan saluran kepada usahawan siswazah berkenaan untuk memohon dana pengkomersilan iaitu Dana Pembangunaan dan Penyelidikan Pengkomersilan (CRDF).

Sementara itu, Norhalim pula berkata, program tersebut menggalakkan aktiviti pengkomersilan hasil penyelidikan dan pembangunan (P&P) yang dijalankan oleh universiti dan menambah bilangan syarikat terbitan berasaskan teknologi.

Jelasnya, ia turut memperlengkapkan graduan dengan kemahiran keusahawanan dan menyediakan peluang pekerjaan kepada siswazah dalam industri teknologi.

“Program ini memberi pendedahan kepada graduan mengenai aktiviti-aktiviti pengkomersilan dan peluang-peluang perniagaan bagi sesuatu teknologi atau produk yang dikomersialkan.

“Sehingga kini, aktiviti pemindahan teknologi berjalan lancar dan sudah ada produk keluaran syarikat-syarikat berkenaan mendapat tempahan dan dipasarkan,” katanya.

Program Keusahawanan Siswazah UPM-MTDC bermula sejak 21 November 2010 melibatkan seramai 24 peserta siswazah yang terpilih.

UPM melantik anak syarikat UPM Holdings Sdn Bhd iaitu UPM Innovations Sdn Bhd untuk memastikan kelancaran pengurusan program tersebut.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain