suria

UPM Tawar Kursus Metodologi Inovasi Mulai Semester Depan

KUALA LUMPUR: Fakulti Rekabentuk dan Senibina Universiti Putra Malaysia (UPM) akan menawarkan kursus Metodologi Inovasi bermula sessi Februari depan bagi melahirkan kumpulan pakar dalam bidang itu.

Naib Canselornya Datuk Radin Umar Radin Sohadi berkata kurusus itu akan memberi pendedahan kepada pelajar tentang pengetahuan dan aplikasi berkaitan metodologi, proses inovasi dan penciptaan nilai.

Beliau berkata pada peringkat awal kursus ini akan dimasukkan dalam kurikulum pengajian siswazah atau dijadikan subjek elektif bagi memperkasa kemampuan penyelidikan pelajar.

"Melalui kursus ini, pelajar akan diajar menguasai proses penjanaan nilai, analisis pasaran, mengadaptasi kaedah penyelesaian dalam proses inovasi dan mengsintesis komponen inovasi dan pengkomersialan.

"Seramai 30 tenaga pengajar terlatih yang masing-masing telah mempunyai produk Harta Intelek (IP) akan ditugaskan mengajar dan membimbing pelajar bagi menghasilkan sesuatu produk hasil inovasi pelajar itu sendiri," katanya kepada pemberita selepas majlis jamuan bersama media di sini, Isnin.

Radin Umar berkata, penekanan kursus tersebut juga diberikan kepada etika dalam inovasi supaya integritinya sentiasa terpelihara.

Beliau berkata reka bentuk kursus akan berpandukan model lima disiplin inovasi yang telah diperkenalkan oleh Stanford Research International (SRI), Amerika Syarikat yang merangkumi penjanaan idea sehinggalah penjanaan kekayaan.

Selain itu, katanya mod pengajian dan pembelajaran akan berteraskan pembelajaran melalui kaedah kajian kes, bengkel, pencarian maklumat kendiri serta pembentangan secara individu dan berkumpulan.

Radin Umar berkata kursus itu dapat menyumbang kepada pemikiran inovasi, kreativiti dan keinsanan selain dapat menyuntik pertumbuhan ekonomi dan menjana pendapatan negara menerusi produk dan perkhidmatan baru.

Kursus ini juga, katanya perlu diinstitusikan untuk menjadi pemangkin kepada inovasi khususnya dalam mewujudkan nilai ciptaan sesuatu penyelidikan serta mentransformasikan penyelidikan sebagai sumber penjanaan inovasi. - BERNAMA

Artikel Lain