suria

Program Sanggar Budaya Dekatkan Pelajar Antarabangsa Dengan Budaya Tempatan

KANGAR: Program Sanggar Budaya anjuran Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) yang berakhir hari ini berjaya mendekatkan budaya masyarakat Malaysia yang unik kepada para pelajar antarabangsa, kata Naib Canselor UniMAP Prof Datuk Dr Kamarudin Hussin.

Beliau menyifatkan program yang julung kali diperkenalkan itu telah membuka mata pelajar antarabangsa tentang keharmonian masyarakat berbilang kaum di negara ini di samping mengakui bahawa Malaysia sebuah negara aman.

Ketika menutup program itu di Dewan Felda Chuping hari ini, beliau terharu kerana lebih 200 peserta di kalangan para pelajar antarabangsa beberapa buah institusi pengajian tinggi awam dan swasta seluruh negara yang menyertai program itu bersetuju bahawa mereka mula mencintai budaya masyarakat Malaysia.

Beliau berkata, program seumpama itu akan diadakan lagi dengan saiz yang lebih besar supaya memberi peluang kepada lebih banyak pelajar antarabangsa di negara ini menyertainya.

Program selama tiga hari itu berlangsung di empat buah kampung tradisional di Perlis iaitu di Ujong Bukit, Chemumar, Simpang Tok Kayaman dan Felda Chuping dan mereka turut menyertai kegiatan bersama keluarga angkat selain mengikuti program yang diatur oleh UniMAP.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Chemumar, Azit Yusof berkata lebih 50 pelajar antarabangsa yang ditempatkan di kampung Chemumar selama tiga hari ternyata teruja dengan kegiatan masyarakat tempatan yang kebanyakannya terbabit dalam industri padi.

"Kami menganjurkan program santai untuk mereka termasuk membuat kuih tradisional, kenduri kampung dan memperkenalkan mereka kepada muzik tradisi Gendang Keling serta tradisi 'berendoi' di samping sukaneka," katanya.

Dalam perkembangan lain, kira-kira 3,000 pelajar UniMAP menyertai program Inovasi Sosial di 55 buah kampung di Perlis selama tiga hari yang berakhir semalam.

Mereka menyertai pebagai kegiatan bersama keluarga angkat yang antara lain bertujuan mendedahkan mereka kepada kehidupan masyarakat kampung yang penuh keunikannya.

Artikel Lain