suria

Khaled Nordin Cabar OUM Sedia Peluang Belajar Kepada Lelaki

JOHOR BAHARU: Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pada Sabtu melontarkan satu cabaran kepada Open University Malaysia (OUM) untuk menyediakan lebih banyak peluang belajar khasnya kepada pelajar lelaki.

Ini kerana, katanya, institusi pengajian tinggi awam dan swasta sekarang didominasi oleh pelajar perempuan.

"Kita beri cabaran kepada OUM untuk menyediakan kursus-kursus yang bukan akademik yang boleh menarik minat pelajar lelaki agar mereka tidak keciciran di dalam usaha pembangunan insan di negara ini," katanya.

Beliau berkata demikian semasa melancarkan Hari Terbuka OUM dan Program Sijil Asas Pengurusan dan Operasi Fret Logistik IPD-OUM di pusat pembelajaran universiti terbuka itu di sini, Sabtu.

Menurut Khaled, jumlah pelajar p erempuan yang menduduki institusi awam dan swasta adalah 70 peratus. Sementara itu, Presiden OUM Tan Sri Prof Emeritus Anuwar Ali dalam ucapannya berkata program sijil asas fret logistik selama 12 bulan itu dimajukan oleh Institute of Professional Development-Open University Malaysia dan PortsWorld Sdn Bhd.

Program tersebut dimajukan bagi memenuhi permintaan yang tinggi dari bidang logistik dan pengurusan rantaian bekalan dan kakitangan sokongan yang diperlukan industri logistik yang berkembang pesat di negara ini.

Mereka yang menyertai program itu akan diberikan kuliah teori dan latihan praktikal selama enam bulan di syarikat-syarikat logistik.

Modul-modul program itu merangkumi elemen-elemen fret logistik, pengagihan perkhidmatan, dokumentasi urusniaga, sistem aplikasi di dalam logistik, rantaian bekalan dan komunikasi perniagaan.

Selain pameran, turut diadakan pada hari terbuka itu ialah ceramah khas oleh angkasawan negara Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha untuk pelajar-pelajar sekolah. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain