suria

IPT Perlu Bangunkan Hasil Kajian Sendiri - Khaled Nordin

PUTRAJAYA: Institusi pengajian tinggi akan membangunkan sendiri hasil kajian asasnya melalui penubuhan syarikat baru yang mampu menterjemahkannya kepada teknologi yang boleh dikomersialkan, tanpa membabitkan pihak luar.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, syarikat itu akan diwujudkan di bawah program Inkubator Universiti dan akan dikendalikan sendiri oleh penyelidik, saintis dan pelajar universiti terbabit.

"Satu daripada usaha yang perlu dilihat dalam ekonomi berasaskan inovasi sekarang, bukan sahaja universiti dapat melakukan penyelidikan serta melahirkan ilmu baru sahaja, malahan turut mampu menghasilkan teknologi sendiri," katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Inovasi peringkat kementerian di sini, Khamis.

Mohamed Khaled berkata sebelum ini, kajian asas yang dihasilkan universiti akan dimajukan oleh Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) dan sebagai permulaan penubuhan syarikat itu akan dilaksanakan di Universiti Malaya (UM) dan Universiti Sains Malaysia (USM).

Pada majlis itu, beliau turut mengumumkan peruntukan RM22 juta kepada UM dan RM51 juta kepada USM untuk penubuhan inkubator.

Sementara itu, dua pendekatan baru dikenal pasti KPT sebagai gerakan baru inovasi iaitu program inovasi universiti perlu mengambil kira sumbangan kepada persekitaran; masyarakat serta menggerakkan program inovasi secara kolaboratif dan bekerjasama dengan agensi-agensi kerajaan lain.

"Ini bermakna program-program inovasi kementerian selepas ini tidak boleh lagi dilaksanakan secara bersendirian atau in silo, sebaliknya bekerjasama dengan asgensi atau kementerian lain bagi menghasilkan impak dan pencapaian lebih besar," katanya.

Beliau berkata program inovasi universiti tidak boleh lagi bersifat dalaman atau memenuhi kepentingan universiti semata-mata, sebaliknya membantu masyarakat dalam berhadapan dengan cabaran kehidupan yang kompleks.

"Pelajar sebagai entiti terbesar dalam sesebuah universiti misalnya boleh memainkan peranan melalui jaringan mereka sebagai ejen kreativiti dan inovasi dalam masyarakat," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain