suria

Empat Penuntut USM Terima Anugerah Diraja

KANGAR: Empat penuntut cemerlang Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini menerima Anugerah Pelajaran Di Raja universiti itu di Istana Arau, di sini.

Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail menyampaikan anugerah itu kepada Mohammad Rahim Kamaluddin, 24, Karen Voon Kai Rou, 24, Ramanathan a/l AMN Thiagarajan, 22, dan Nur Izzati Amir Hamzah, 24.

Setiap seorang menerima Pingat Jaya Cemerlang, sijil serta hadiah kewangan sebanyak RM5,000.

Raja Perlis yang juga Canselor USM turut beramah mesra dengan penerima anugerah itu serta pegawai utama universiti itu.

Turut berangkat ke majlis itu ialah Raja Perempuan Perlis, Tuanku Fauziah Tengku Abdul Rashid, Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Hadir sama ialah Menteri Besar Datuk Seri Dr Md Isa Sabu, Pengerusi Lembaga Gabenor USM Prof Emeritus Datuk Dr M. Zawawi Ismail dan Naib Canselor USM Prof Datuk Dr Omar Osman. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain