suria

Kuin Wujud Cawangan Di Thailand Dan Kemboja Tahun Depan

LANGKAWI: Kolej Universiti Insaniah (Kuin) akan mewujudkan cawangannya di Thailand dan Kemboja tahun depan, kata Rektornya Datuk Dr Jamil Osman.

Beliau berkata Thailand telah bersetuju mewakafkan tanah seluas lebih 32 hektar bagi membangunkan cawangan Kuin di negara berkenaan.

"Bank Pembangunan Islam (IDB) di Jeddah pula memberi jaminan membantu membangunkan cawangan Kuin itu," katanya pada sidang media selepas majlis penutup Persidangan Kewangan dan Ekonomi Islam Antarabangsa Langkawi (LIFE), di sini Isnin.

Katanya penubuhan cawangan Kuin di dua negara terbabit adalah antara perkara yang dibincangkan pada persidangan selama tiga hari itu, yang dianjurkan bersama Kuin, IDB dan Institut Penyelidikan dan Latihan Islam.

Persidangan itu juga bersetuju dengan cadangan penubuhan Jawatankuasa Wakaf peringkat Malaysia dan antarabangsa bagi membolehkan hasil wakaf disalurkan pada pihak berkenaan, katanya.

Kertas kerja berkenaan cadangan itu akan dibentangkan kepada pihak yang berkenaan sebelum jawatankuasa ditubuhkan, katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain