suria

Universiti Perlu Bantu Bina Tamadun, Akhlak Bangsa - Raja Muda Perlis

KANGAR: Institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini perlu membantu membina tamadun dan akhlak bangsa selain menggunakan kepakaran yang ada untuk menjadi penyelesai masalah ummah, titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Sehubungan itu, baginda berharap pengurusan IPT tidak terlalu taksub untuk mengejar ranking kerana tanggungjawab mereka yang lebih utama ialah membantu menyelesaikan masalah tempatan dan dunia termasuk berkaitan dengan sosial dan alam sekitar.

Bertitah pada majlis penutup program pelan strategik Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) bertemakan "Strategi Lautan Biru" di sini, Jumaat, baginda berharap, sebagai gedung ilmu, universiti perlu mendidik para pelajar menghadapi dan menyelesaikan masalah tempatan dan global yang semakin rakus, tamak dan ganas.

"Pada masa yang sama universiti perlu menjadi entiti bebas dan sejagat dengan tidak berpihak kepada mana-mana badan yang mempunyai kepentingan peribadi," titah baginda yang juga Canselor UniMAP.

Baginda berharap universiti di negara ini termasuk UniMAP dapat meningkatkan kepakaran dalam bidang-bidang strategik sebagaimana yang menjadi fokus kerajaan termasuk dalam bidang bioteknologi.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah, sesebuah universiti akan menjadi terbilang jika dapat membezakan wajah dan identitinya terutama dari segi persembahan dan sistem penyampaiannya selain dapat membina keyakinan dan mewujudkan tanggapan positif dalam kalangan masyarakat mengenai peranannya.

Baginda juga menyarankan UniMAP yang bakal berusia sedekad tahun depan mewujudkan tiga program baru iaitu teknologi sukan, marin dan akustik bagi memperkasakan universiti itu.

Sementara itu, Naib Canselor UniMAP, Prof Datuk Dr Kamarudin Hussin berkata, program pelan strategik itu antara lain menghasilkan beberapa resolusi termasuk yang berkaitan dengan pembangunan infrastruktur, melahirkan graduan berkualiti, pasaran baru dan memastikan UniMAP terus menyerlah di arena antarabangsa.

Beliau mencadangkan supaya satu makmal diwujudkan bagi memastikan resolusi yang dihasilkan dalam pelan strategik itu dapat diperincikan supaya dapat dilaksanakan secara berkesan.

Kamarudin berbangga dengan komitmen para dekan dan timbalan dekan universiti itu yang memanfaatkan masa terluang bagi menghasilkan resolusi itu termasuk semasa dalam perjalanan dengan bas dari Perlis ke Pulau Pinang selain perbincangan yang padat di atas kapal pelancongan SuperStar Libra di perairan Pulau Pinang yang berakhir Khamis. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain