Dua Pelajar UTeM Terima Anugerah Pelajaran Diraja

Diterbitkan: Sabtu, 22 Oktober 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

MELAKA: Dua penuntut menerima Anugerah Pelajaran Diraja sempena Majlis Konvokesyen Ke-7 Universiti Teknikal Malaysia (UTeM) yang bermula pada Sabtu.

Mohd Saiful Izzat Mat Zahari, 23, penerima Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekatronik dengan Kepujian, berkata anugerah itu merupakan hadiah untuk ibu bapanya yang menjadi tulang belakang sepanjang empat tahun beliau menimba ilmu.

"Kejayaan ini atas dorongan ibu bapa, minat, tumpuan sepenuhnya semasa berada di dewan kuliah dan bimbingan pensyarah," kata anak pemandu van kesihatan yang pernah menerima Anugerah Dekan sebanyak lima kali.

Beliau pernah memenangi pingat emas pada pertandingan reka cipta I-Envex April lepas menerusi penghasilan sebatang tongkat dinamakan 'My Second Eye' yang dapat membantu serta memudahkan pergerakan golongan Orang Kurang Upaya (OKU) cacat penglihatan.

Seorang lagi penerima, Wong Kok Hong, 25, penuntut Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektronik, anugerah berkenaan merupakan pencapaian terbaiknya dan akan menjadi dorongan untuk beliau terus maju serta menimba ilmu di peringkat lebih tinggi.

"Untuk mencapai ke tahap ini, usaha gigih diperlukan seperti pengurusan masa yang teratur, terutama untuk mengimbangi antara akademik dan kokurikulum," katanya yang ditawarkan jawatan sebagai jurutera pembangunan program di Pulau Pinang. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan