suria

7,327 Graduan Terima Ijazah , Diploma UPM

PETALING JAYA: Seramai 7,327 graduan akan menerima ijazah dan diploma masing-masing sempena Majlis Konvokesyen Ke-35 Universiti Putra Malaysia (UPM) yang akan berlangsung dari Sabtu sehingga Rabu ini.

Daripada jumlah itu, kira-kira 369 graduan merupakan penerima Ijazah Doktor Falsafah (PhD), 1,816 Sarjana (master), 4,744 Sarjana Muda dan 398 penerima Diploma.

Pada kali ini, seramai 459 graduan berjaya mendapat Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama, 3,113 kelas kedua tertinggi, 978 kelas kedua rendah manakala 16 lagi menamatkan pengajian di kelas ketiga.

Majlis tersebut akan berlangsung di Dewan Besar, Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PKKSSAAS), UPM.

Canselor UPM, Sultan Sharafuddin Idris Shah akan mengurniakan ijazah Phd, Sarjana, Sarjana Muda, dan Diploma bagi sesi pertama yang akan berlangsung esok dan sesi ketiga, Ahad ini.

Majlis pengurniaan ijazah sebanyak sembilan sesi selama lima hari itu akan turut disempurnakan oleh tiga Pro Canselor UPM iaitu Tan Sri Dr Nayan Ariffin, Tan Sri Lim Ah Lek dan Tan Sri Rozali Ismail.

Canselor juga berkenaan mengurniakan hadiah kepada para pemenang anugerah peringkat universiti iaitu Pingat Emas Canselor kepada Ng Kit Lin dan Anugerah Pelajaran Diraja kategori bumiputera kepada Elmy Talip dan bagi bukan bumiputera, Ong Ban Shui.

Pingat lain universiti yang disampaikan baginda ialah Pingat Emas Alumni kepada Megat Marwan Megat Nizar, Pingat Emas Yayasan Pak Rashid kepada Khairul Na'im Ya'akub, Pingat Emas Profesor Emeritus Tan Sri Dr Rashdan Baba kepada Wong Yee May, Hadiah Putra Agribio kepada Low Wei Han dan Hadiah Syed Kechik kepada Nurdiyana Mohamad Tahir (Doktor Perubatan Veterinar).

Sementara itu, UPM mencatatkan peningkatan sebanyak 27 peratus dalam pendaftaran pelajar baru apabila seramai 2,077 pelajar program Sarjana dan PhD mendaftar pada semester pertama bagi sesi 2011/2012 bulan lalu.

Naib Canselor UPM, Datuk Ir Dr Radin Umar Radin Sohadi berkata, peningkatan secara mendadak itu berupaya mewujudkan keseimbangan di antara pelajar tempatan dan luar negara seiring dengan pelan Kementerian Pengajian Tinggi untuk melahirkan seramai 13,000 graduan pasca siswazah menjelang 2013.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain