suria

Pelajar Orang Asli UUM Tekad Lakar Kejayaan Cemerlang

ALOR SETAR: Seramai 21 pelajar Orang Asli yang sedang melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah pertama di Universiti Utara Malaysia (UUM) Sintok, dekat sini berazam untuk melakar kejayaan cemerlang sekali gus dapat menaikkan nama masyarakat mereka.

Rahim Ng Keo Choo dari Maran, Pahang berkata menerima tawaran untuk melanjutkan pengajian dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Awam di universiti pengurusan terkemuka itu merupakan peluang paling berharga dalam hidupnya. "Saya gembira terpilih sebagai pelajar di sini yang bukan sahaja menjadi pilihan pelajar lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) tetapi UUM juga menjadi tumpuan kalangan ahli politik, artis, penggiat seni filem, usahawan dan wartawan," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Rabu.

Anak ketiga daripada tujuh beradik yang juga pelajar terbaik STPM negeri Pahang itu bercita-cita untuk bekerja di Jabatan Kemajuan Hal Ehwal Orang Asli bagi membolehkannya berbakti secara terus kepada masyarakat Orang Asli.

Pelajar tahun tiga Ijazah Sarjana Muda Pendidikan, Muhamad Ishraq Amani Abdullah dari Labu, Negeri Sembilan pula berhasrat untuk menjadi pendidik berdedikasi selepas menamatkan pengajian nanti.

"Saya tidak sabar untuk menamatkan pengajian dan berkhidmat sebagai guru bukan sahaja kepada masyakarat kami malah di mana-mana sahaja saya diperlukan," kata Muhamad Ishraq Amani.

Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Dato' Mohd Said, Nilai, Negeri Sembilan itu juga gembira kerana ramai pelajar daripada kalangan Orang Asli diterima masuk ke institut pengajian tinggi.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UUM, Prof Madya Dr Mohd Amy Azhar Mohd Hanif yang mengadakan pertemuan dengan 21 pelajar Orang Asli itu berkata jabatan sentiasa berhubung dengan pelajar berkenaan bagi membolehkan mereka berkongsi sebarang maklumat.

Beliau berkata pertemuan itu juga bertujuan mengeratkan hubungan antara jabatan dan pelajar di samping dapat memberikan penerangan tentang peluang-peluang mereka selepas menamatkan pengajian kelak. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain