suria

USM Akan Wujudkan Pangkalan Data Khas Rekod Kearifan Tempatan

LANGKAWI: Universiti Sains Malaysia (USM) akan mewujudkan satu pangkalan data khas untuk merekodkan ilmu-ilmu kearifan tempatan dari seluruh negara, kata Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa USM Prof Ahmad Shukri Mustapa Kamal.

Beliau berkata usaha itu penting kerana ia boleh digunakan oleh segenap lapisan masyarakat terutama golongan akademik dan pencinta ilmu bagi melihat aset khazanah negara yang cukup bernilai.

"Untuk permulaan USM menganjurkan persidangan pada hari ini bagi memperlihatkan pendekatan baru daripada sudut akademik agar kita boleh mendokumentasikan secara berstruktur dan tersusun berkaitan kearifan tempatan.

"Usaha itu penting bagi membolehkan kita membina pangkalan data untuk Malaysia yang boleh digunakan generasi akan datang," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Serantau Kearifan Tempatan anjuran Kumpulan Kearifan Tempatan USM, di sini, Isnin.

Sebanyak 100 kertas kerja berkaitan kearifan tempatan dibentangkan pada persidangan dua hari yang bermula pada Isnin.

Kesemua kertas kerja itu kemudiannya akan diterbitkan dalam beberapa jilid. Kearifan tempatan merupakan sejumlah ilmu yang disimpulkan daripada pengalaman sebenar yang dialami dalam jangka waktu yang sangat panjang.

Ahmad Shukri berkata pakar ilmu kearifan tempatan perlu menggunakan kemajuan teknologi seperti internet dalam menyalurkan maklumat kegemilangan ilmu masyarakat silam yang merangkumi pelbagai aspek termasuk pertanian, kesihatan, kesenian dan sebagainya.

Sementara itu seorang pensyarah Antropologi Budaya, Fakulti Ilmu Budaya, Universitas Gadjah Mada, Indonesia, Prof Heddy Ahimsa Putra berkata Malaysia dan Indonesia perlu bekerjasama mengumpul maklumat mengenai kearifan tempatan bagi mewujudkan ensiklopedia yang mampu menjadi rujukan generasi akan datang.

Kedua-dua negara memiliki banyak kesamaan di dalam aspek kearifan tempatan, kata Heddy selepas menyampaikan ucaptama bertajuk "Kearifan Tempatan dan Jati Diri Bangsa: Pengalaman Indonesia".

"Antara isu yang mempunyai persamaan ialah kearifan budaya, pertukangan, muzik, perubatan tradisional dan banyak lagi yang sering menjadi perbincangan antara kedua-dua negara dan telah tiba masanya ada pihak mengambil langkah untuk mengumpul semula ilmu kearifan tempatan yang ditinggalkan ini," katanya kepada pemberita pada Isnin.

Beliau berkata jika ilmu kearifan tempatan tidak dipelihara, sesebuah negara itu sudah hilang jati dirinya kerana tiada apa yang dapat ditinggalkan untuk generasi akan datang. -BERNAMA

Artikel Lain