suria

Persidangan MENTION 2011 Galak Penyelidikan Saintifik

PETALING JAYA: Persidangan MENTION (Media dan Komunikasi) 2011 yang bakal berlangsung pada 11 dan 12 Oktober ini, pukul 8 pagi di Hotel Equatorial, Bangi mendorong perkongsian penyelidikan saintifik di kalangan pengamal media dan komunikasi di dalam dan luar negara.

Menurut pensyarahnya, Abdul Latiff Ahmad, persidangan yang dianjurkan oleh Pusat Pengajian Media dan Komunikasi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia bersama dengan Institusi Penyiaran Tun Abdul Razak (IPPTAR) akan memberikan penekanan kepada empat aspek penyelidikan.

“Dengan bertemakan “Communication and Transformation: Progress and Paradox”, kami memilih untuk merungkaikan empat aspek iaitu Dasar Komunikasi dan Industri, Globalisasi dan Kesan Sosial, Analisis Khalayak dan Media, Demokrasi dan Integrasi.

“Objektif persidangan ini adalah untuk menyediakan pentas untuk perbincangan mengenai pelbagai isu semasa dalam pengajian media dan komunikasi, membincangkan transformasi media dan komunikasi yang sedang berlaku di peringkat tempatan dan juga antarabangsa dan mengenalpasti laluan untuk kemajuan masa depan dalam bidang kajian media dan komunikasi.

“Di waktu yang sama ianya dapat meningkatkan lagi jaringan di kalangan pengamal media dan sarjana komunikasi,” ujarnya.

Persidangan ini terbuka kepada ahli akademik, penyelidik, pegawai-pegawai kerajaan, penggubal dasar, wakil-wakil NGO, golongan professional dan juga kepada pelajar siswazah di dalam mahupun luar negara.

Penyertaan untuk menjadi peserta kepada persidangan ini masih terbuka kepada sesiapa yang berminat dalam isu-isu yang dibentangkan.

Untuk keterangan lanjut, sila hubungi Sekretariat MENTION 2011 di talian faks: +6 03 89213542, e-mel: [email protected] atau layari laman web www.ukm.my/mention2011.

Artikel Lain