suria

Graduan Kerdil Terima Ijazah Sarjana Muda Di UUM

SINTOK: Saiz bukan segalanya dan ini dibuktikan Nur Nadia Shamsudin yang memiliki ketinggian 129 sentimeter apabila bergelar graduan Universiti Utara Malaysia (UUM), pada Khamis.

Dikategorikan Orang Kelainan Upaya, Nur Nadia, 24, menyifatkan saiznya yang kerdil adalah pendorong kepadanya untuk menggenggam segulung ijazah seperti mereka yang normal.

"Apa yang penting adalah sikap dan kelakuan. Jadi penyelesai masalah dan jangan beri terlalu banyak alasan," kata anak gadis dari Temerloh, Pahang itu kepada Bernama selepas majlis konvokesyen UUM di sini.

Graduan Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan itu berkata sepanjang tiga tahun menuntut ilmu di universiti tersebut, beliau banyak dibantu tenaga pengajar dan rakan sekuliah.

"Berbekalkan ijazah yang telah saya perolehi ini, saya bercita-cita untuk memulakan perniagaan sendiri dengan membuka sebuah bakeri dan berjaya di dalam bidang perniagaan," kata anak kedua daripada empat beradik itu.

Nur Nadia berkata ijazah yang diperolehinya itu juga adalah hadiah terbaik untuk ibu bapanya sempena sambutan hari lahirnya pada Isnin lepas.

Sementara itu, ibunya Dasilah Akmal Mohamad, 49, berkata beliau dan suaminya Shamsudin Zainudin, 56, sentiasa memberi sokongan dan dorongan dalam apa jua yang Nur Nadia lakukan.

Katanya beliau dan suami berpegang kepada prinsip untuk tidak menyekat kemahuan anak gadis mereka itu demi melihat cita-citanya tercapai. "Kejayaan Nur Nadia sebagai anak kedua dalam keluarga menerima ijazah merupakan kebanggaan kami sekeluarga," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain