suria

Graduan Perlu Tegak Kebenaran Dan Tentang Kemungkaran, Titah Raja Nazrin

KUALA LUMPUR: Raja Muda Perak Raja Dr Nazrin Shah menitahkan para graduan agar bersungguh, tegas, gigih dan ikhlas serta mengangkat prinsip berani menegakkan kebenaran dan menentang kemungkaran apabila melangkah ke alam pekerjaan.

Baginda yang juga Pro-Canselor Universiti Malaya (UM) bertitah ketika berada di alam pekerjaan, graduan hendaklah melaksanakan segala tugas dan tanggungjawab atas prinsip kebenaran dengan mengamalkan sikap bertanggungjawab serta tidak menyalahgunakan kuasa yang diberikan.

"Kekuatan negara akan terbina jika negara ditegakkan dengan sikap kebenaran sebaliknya negara akan menjadi lemah jika dibina atas dasar kepalsuan.

"Suasana pengajian di universiti membantu membina pemikiran yang kaya dengan idealisme dan alam pekerjaan adalah untuk mempraktikkan idealisme tersebut," titah baginda pada majlis konvokesyen UM ke-50 di sini pada Selasa Seramai 6,638 graduan dalam pelbagai disiplin pengajian di peringkat ijazah Doktor Falsafah, Sarjana, Sarjana Muda dan diploma menerima ijazah masing-masing pada istiadat konvokesyen yang berlangsung selama enam hari berakhir 8 Oktober ini. Daripada jumlah itu seramai 309 dianugerahkan Ijazah Doktor Falsafah, 1,931 Ijazah Sarjana, 4,231 graduan menerima ijazah sarjana muda dan 167 graduan bagi penerima diploma.

Sementara itu, seorang graduan cacat penglihatan Mohd Kalam Mazad Abd Rahman, 34, melahirkan rasa syukur kerana berjaya memperolehi Ijazah Sarjana Syariah meskipun berhadapan pelbagai cabaran yang sukar.

"Saya berterima kasih kepada kedua ibu bapa saya kerana memberi sokongan yang padu. Saya menghadapi cabaran yang besar kerana keadaan saya, pergerakan yang terbatas, fasiliti yang kurang serta buku rujukan yang terhad tapi saya jadikan itu sebagai penguat semangat untuk berjaya," katanya.

Seorang graduan warga emas, Saidatul Badru Mohd Sais, 61, berkata usia tidak menjadi penghalang kepadanya untuk terus menuntut ilmu.

"Minat yang mendalam dalam menimba ilmu menjadikan saya lebih kuat serta had umur tidak menjadi penghalang kepada saya dan warga emas seperti saya masih mampu membantu negara dari segi penjanaan ilmu," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain