suria

Tuanku Zahirah Lancar Kapal Penyelidik UMT RV Discovery

KUALA TERENGGANU: Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah pada Jumaat berkenan berangkat menyempurnakan majlis pelancaran kapal penyelidikan RV Discovery Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di Pulau Duyong di sini.

Baginda, yang juga Canselor UMT diiringi Yang Dipertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin. Baginda berdua kemudian berangkat melawat kapal tersebut.

Naib Canselor UMT Datuk Dr Aziz Deraman berkata pemilikan kapal penyelidikan pertama UMT ini meletakkan UMT sebagai unversiti pertama di Malaysia memiliki sebuah kapal yang serba canggih untuk penyelidikan samudera.

Kapal RV Discovery sesungguhnya akan menjadi kebanggaan dan ikon UMT dalam usahanya untuk menjadi sebuah pusat kecemerlangan dalam penerokaan, penjanaan dan penyebaran ilmu yang berkaitan samudera.

UMT yakin bahawa pelaburan besar ke atas pembinaan dan penyelenggaraan RV Discovery pastinya akan membawa manfaat yang tidak ternilai kepada masyarakat dalam memahami, memelihara dan memastikan pelestarian sumber laut untuk tatapan dan kegunaan generasi yang akan datang, katanya. Aziz berkata pembinaan kapal yang bernilai kira-kira RM15 juta itu telah bermula pada September 2008 oleh Syarikat Kay Marin Sdn.Bhd. Kapal berukuran 35 meter seberat 300 tan itu dilengkapi pelbagai peralatan moden dan terkini setanding dengan kapal penyelidikan lain di dunia.

Ini termasuk peta elektronik, alat bantuan perjalanan, pengukur ke dalam air yang mampu berfungsi sehingga sejauh 6,000 meter di dasar laut.

Kapal yang berkemampuan belayar sejauh lebih 4,000 batu nautika itu juga akan membolehkan para saintis berada di lautan dalam jangka yang lebih lama selain dilengkapi kemudahan rawatan air masin untuk bekalan minuman di samping makmal basah dan kering.

Selain ciri keselamatan sistem pemadam kebakaran pyrogen, RV Discovery juga dilengkapi dengan kabin yang selesa bagi memuatkan sejumlah 12 orang krew kapal dan 23 pelatih pada satu-satu masa.

Ini akan memberi kemudahan kepada tenaga penyelidik tempatan dan luar negara serta mahasiswa UMT mengikuti pengajian sains samudera, biologi marin, sains nautika, pengangkutan maritim dan teknologi maritim.

Aziz berkata pelayaran pertama RV Discovery akan diadakan akhir tahun ini di antara Kuala Terengganu ke Langkawi sebelum memulakan operasi sebenar. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain