suria

USM Hasilkan Serat Makanan Daripada Sisa Buangan Pertanian

GEORGE TOWN: Penyelidik Universiti Sains Malaysia (USM) berjaya menghasilkan fiber atau serat makanan menerusi bahan sisa buangan pertanian yang dapat membantu dalam penjagaan kesihatan.

Ketua penyelidiknya Prof Dr Liong Min Tze berkata serat makanan itu dihasilkan dengan menggunakan sisa buangan pertanian seperti hampas beras, jagung, gandum dan sisa soya.

Beliau berkata hasil penyelidikan tersebut berpotensi dan berupaya memberi manfaat kepada penjagaan kesihatan usus, mencegah sembelit, merendahkan tahap kolesterol serum, mengekalkan sistem penghadaman yang sihat selain mencegah obesiti dan penyakit kencing manis.

"Serat makanan yang dihasilkan daripada sisa pertanian melalui kaedah pengkapsulan nano ini menjadi 'bakteria baik' dan dapat digunakan dalam produk penghasilan kesihatan dalam melindungi bakteria baik dalam badan.

"Kalau kita memakannya, ia tidak mempunyai rasa kerana ia tidak dapat dikesan oleh lidah manusia, namun jika serat diletakkan ke dalam makanaan seperti biskut dan mee, ia akan dapat membantu penjagaan kesihatan selain dapat mengimbangkan kuantiti bateria dalam badan manusia," katanya kepada pemberita di sini, Khamis.

Penyelidikan tersebut berjaya mengungguli Anugerah Saintis Muda sempena Persidangan Asia ke-6 mengenai Bakteria Asid Laktik (ACLAB6) di Sapporo, Jepun dua minggu lepas menerusi kajian Wai Yee Fung.

Kajian itu bermula 2009 dengan geran penyelidikan USM berjumlah RM100,000 dan dana Loreal of Women In Science sebanyak RM20,000.

Sementara itu Dekan Pusat Pengajian Sains Farmasi USM, Prof Syed Azhar Syed Sulaiman mencatat sejarah apabila terpilih menerima pengiktirafan tertinggi dari Persatuan Farmasi Malaysia (MPS) yang disampaikan Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai pada Isnin lepas.

Beliau menerima Anugerah Farmasi MPS 2011 yang mengiktiraf sumbangan dan ketokohan ahli farmasi di negara ini yang telah menunjukkan kecemerlangan di dalam dan luar negara.

Syed Azhar turut dianggap sebagai ahli farmasi terulung negara. Beliau sebelum ini pernah muncul sebagai ahli farmasi pertama negara yang menerima Anugerah Ishidate 2010 Persekutuan Persatuan Farmaseutik Asia (FAPA) bagi kategori Tokoh Pendidik Unggul dalam bidang Farmasi Klinikal.

Syed Azhar berkata anugerah itu menunjukkan bahawa negara mampu bersaing dalam bidang farmasi bukan sahaja bergantung kepada pendidikan tetapi turut berjaya menerusi penyelidikan.

"Pencapaian boleh dimiliki jika kita berusaha bersungguh-sungguh supaya kemampuan kita dalam bidang ini setanding dengan negara luar," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain