suria

Pelajar Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin Cipta Pemegang Mikrofon Automatik

DUNGUN: Lima pelajar Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA) di sini telah mencipta pemegang mikrofon yang boleh bergerak secara automatik mengikut ketinggian penggunanya.

Seorang daripada pelajar berkenaan, Mohd Farred Hadi, 24, berkata idea untuk mencipta pemegang mikrofon dinamakan "mikrofon tiptronik" itu tercetus selepas mereka berlima melihat kesukaran yang dihadapi oleh pengacara sesuatu majlis membetulkan pemegang mikrofon dahulu sekiranya ia terlalu rendah atau tinggi.

Empat rakan lain yang turut bekerjama membantunya mencipta alat berkenaan ialah Mohd Lutfi Abdul Rashid, Amizul Hashiddy Yusof, Mohd Sabri A Ghani dan Mohd Zulhilmi Mat Ngah. Mereka mendapat bantuan beberapa pensyarah.

"Kami mengambil masa yang lama untuk menyiapkan ciptaan ini dan ia bukanlah sesuatu yang mudah kerana kami perlu mengulangi membuat perkara yang sama sehinggalah ia berjaya berfungsi dengan sempurna," kata Mohd Farred kepada Bernama di sini, Rabu.

Mohd Farred pernah memenangi anugerah pelajar cemerlang graduan Diploma Kejuruteraan Mekanikal politeknik itu.

Beliau kini melanjutkan pengajiannya di Universiti Malaysia Pahang (UMP) bagi Ijazah Sarjana Muda Mekanikal Am dan bercita-cita menjadi seorang jurutera.

Anak keempat daripada lapan beradik itu berasal daripada keluarga peneroka di Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah).

Mohd Farred merupakan antara 1,474 graduan PSMZA yang menerima diploma dan sijil pada majlis konvokesyen yang dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia Terengganu, Ahamd Razif Abdul Rahman di sini, Rabu. - BERNAMA

Artikel Lain