Tujuh Nilai Murni Atasi Gejala Buli Di Kampus

Diterbitkan: Isnin, 19 September 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Sejajar dengan matlamat kerajaan yang sentiasa berusaha untuk membangunkan potensi individu melalui pendidikan berkualiti, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia(UPNM) melancarkan Kempen Kampus Bebas Buli dan Penerapan 7 Nilai Murni 2011.

Naib Canselornya Leftenan Jeneral Datuk Wira Allatif Mohd Noor berkata kempen itu adalah kesinambungan daripada Program "Say No To Ragging" yang telah dilancarkan pada tahun lepas di UPNM.

"Pada tahun ini kempen ini diteruskan dalam usaha memastikan UPNM sebagai kampus bebas budaya buli dengan penerapan tujuh nilai murni dalam diri mahasiswa agar gejala ini tidak wujud di dalam kampus," katanya.

Beliau berkata rasa persaudaraan dan kekitaan, hormat menghormati, bersopan santun, saling mempercayai, berlaku adil, bertaqwa dan bersabar antara tujuh nilai murni yang ditekankan selaras dengan pelaksanaan kempen itu.

"Setiap elemen yang diterapkan menjadi aset penting negara dalam melaksanakan agenda transformasi kerajaan ke arah sebuah negara maju dan berkualiti," katanya semasa berucap pada majlis pelancaran Kempen Kampus Bebas Buli dan Penerapan 7 Nilai Murni UPNM 2011 di sini, Isnin.

Beliau berkata bagi memastikan hasrat ini tercapai, usaha mewujudkan persekitaran universiti yang kondusif telah dilaksanakan bagi menyokong pembelajaran dan pengajaran di dalam atau di luar bilik kuliah. "Gejala buli tidak harus dibiarkan berkembang dalam kampus kerana di sini adalah sebuah institusi akademik dan pusat keilmuan.

"Oleh itu, gejala ini seharusnya tidak wujud dalam diri seorang mahasiswa," katanya.

Beliau berharap pembudayaan tujuh nilai murni ini dapat menjadi wadah kepada mahasiswa UPNM ke arah pembentukan generasi berkualiti, bersatu padu dan hormat menghormati antara satu sama lain. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan