suria

1,237 Graduan Unimap Bakal Terima Ijazah Dan Diploma

KUALA LUMPUR: Seramai 1,237 graduan akan menerima ijazah dan diploma pada majlis konvokesyen Universiti Malaysia Perlis (UniMAP)kali ke-6 pada Sabtu dan Ahad ini.

Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Kamarudin Hussin berkata daripada jumlah itu, empat orang menerima ijazah Doktor Falsafah (PhD), 58 orang menerima Ijazah Sarjana Sains, 953 orang menerima Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan dan 222 menerima Diploma Kejuruteraan.

"Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail merangkap Tuanku Canselor UniMAP serta Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil yang juga Pro Canselor UniMAP berkenan berangkat bagi tujuan menyempurnakan istiadat konvokesyen," katanya dalam satu kenyataan di sini, Rabu.

Dr Kamarudin berkata buat julung kali, konvokesyen kali ini berlangsung dalam tiga sidang.

Selain itu katanya, UniMAP juga akan menganugerahkan Ijazah Kehormat kepada tiga individu yang telah banyak memberi input serta sumbangan idea dalam pembangunan UniMAP ke arah pengantarabangsaan dan menjadi 500 universiti terbaik dunia.

Mereka ialah Dr. R. Vasant Kumar, ahli akademik kanan dari Universiti Cambridge yang akan menerima Ijazah Kehormat Doktor Kejuruteraan, Tan Sri Dr Zulkefli A. Hassan, bekas Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi (Ijazah Kehormat Doktor Pengurusan) dan Mohd Parid Sulaiman, dari Intel Malaysia (Ijazah Kehormat Sarjana Kejuruteraan). -BERNAMA

Artikel Lain