suria

Unimas Pergiat Usaha Pikat Pelajar Indonesia Bulan Depan

KOTA SAMARAHAN: Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) akan mengadakan promosi secara agresif di Indonesia bulan depan bagi memikat lebih ramai pelajar republik itu mengikuti pengajian di institusi tersebut.

Naib Canselornya Prof Datuk Dr Khairuddin Abdul Hamid berkata destinasi pertama promosi itu ialah di Kalimantan Barat.

"Kami mensasarkan untuk mendaftar 300 pelajar asing di Unimas tahun ini," katanya kepada pemberita selepas mengalu-alukan pelajar baru, di sini, Jumaat.

Katanya beliau yakin sasaran itu dapat dicapai memandangkan pada masa ini Unimas mempunyai 160 pelajar asing dari rantau Asia, Timur Tengah dan Afrika yang mengikuti pengajian dalam pelbagai bidang. "Kami gembira tahun ini seramai 39 pelajar asing dari 14 negara mendaftar untuk belajar di Unimas dan ini adalah kali pertama kita menerima pelajar asing paling ramai sejak ditubuhkan," katanya. Beliau berkata peningkatan kemasukan pelajar asing di Unimas itu menunjukkan pelajar semakin yakin dengan kualiti akademik dan keupayaan universiti tersebut yang ditubuhkan pada 1992.

Tahun lepas jumlah pelajar asing yang mendaftar di Unimas adalah rendah iaitu antara lima dan enam orang, katanya.

"Kebanyakan mereka mengikuti pengajian dalam bidang teknologi komunikasi dan maklumat, perniagaan serta pembangunan sumber manusia," katanya.

Bagi sesi akademik kali ini, seramai 3,492 pelajar termasuk penuntut asing mendaftar di Unimas dan seperti trend di universiti lain, 70 peratus pelajar baru di universiti itu adalah wanita, katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain