suria

Kolej Matrikulasi Teknikal Pahang Bantu Promosi UMT

KUALA TERENGGANU: Universiti Malaysia Terengganu (UMT) pada Khamis menandatangani memorandum persefahaman dengan Kolej Matrikulasi Teknikal Pahang (KMTPh) bagi mempromosikan universiti itu kepada pelajar kolej berkenaan.

Naib Canselor UMT Datuk Dr Aziz Deraman berkata perjanjian selama dua tahun itu bagi memastikan program-program yang ditawarkan oleh UMT menjadi pilihan utama pelajar kolej itu selepas tamat program matrikulasi.

"Perjanjian ini merupakan usaha kami untuk meningkatkan kualiti universiti di samping memberi lebih peluang kepada pelajar untuk melanjutkan pelajaran di peringkat lebih tinggi," katanya pada majlis menandatangani MoU itu di sini, Khamis.

UMT dwakili oleh Aziz manakala KMTPh diwakili pengarahnya Mohd Shaari Azyze Mohd Salleh Azyze.

Menurut Aziz, melalui perjanjian itu bilangan kemasukan pelajar baru ke UMT dijangka meningkat terutamanya dalam bidang sains fizik dan sains biologi.

Antara program yang ditawarkan untuk pelajar KMTPh di UMT ialah Sarjana Muda Teknologi Maritim, Sains Maritim, Sains Nautika, Sains Komputer, Teknologi Alam Sekitar dan Fizik Elektronik.

Mohd Shaari Azyze pula berkata perjanjian itu banyak memberi manfaat kepada KMTPh kerana pihaknya memerlukan sokongan daripada UMT untuk mencapai kecemerlangan pelajar. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain